11 January 2009

Buah Cinta Kami...


25/9/2008
Hari yang penuh dengan kegembiraan buat teman dan suami. Kebetulan suami teman off hari ni lantas teman memintanya membawa ke klinik selepas hampir seminggu tidak sedap badan termasuklah demam berulang dan kurang selesa di bahagian tekak. Takut juga dijangkiti demam Chikungunya yang semakin menjadi2 ketika itu.

Lantas, suami teman membawa ke sebuah klinik swasta berhampiran. Kedatangan teman yang berpagian itu disambut penuh senyuman warga di dalamnya. Selepas mendaftar dan dipanggil berjumpa doktor, teman 'mengkabokan' pemasalahan dihadapi, diikuti doktor memeriksa suhu badan, tekanan darah serta meminta teman membuang air kecil bagi mengisi keperluan ujian pengesahan kehamilan.

Selepas beberapa minit kemudian, doktor yang bermata empat itu mengucapkan tahniah kepada teman ekoran keputusan urine test mengesahkan teman positif mengandung. Usia kandungan teman dijangkakan kira-kira enam minggu. Syukur...

Kemudian, teman diberitahu akan dibekalkan dengan pil asid folik bagi membantu tumbesaran gigi, tulang belakang dan minda bayi yang teman kandung. Turut disertakan, pil muntah, tahan sakit serta ubat angin sekiranya teman memerlukan kelak.

Usai bersama doktor, teman melangkah keluar untuk menyampaikan berita gembira kepada suami teman yang khusyuk membaca Utusan Malaysia di ruang menunggu. Apa kata doktor? Tanya suami teman. Teman sekadar menjawab, doktor kata tak lama lagi B bakal menjadi seorang ayah. Riak muka suami ketika itu seakan terkejut dan menatap teman agak lama.

Mungkin dia beranggapan teman mengusiknya. Namun, riak wajah itu bertukar dengan senyuman lantas memberikan kucupan kasih di pipi teman. Mujurlah hanya kami pelawat yang ada di klinik itu.

Terima kasih, ya Allah kerana rahmat dan ihsan-Mu yang memberikan rezeki yang tidak ternilai ini. Selepas menjalani bahtera rumahtangga selama 116 hari, akhirnya bibit kasih kami bercambah dan bakal menambah lagi umat manusia di muka bumi ini. Hehehe...

Jika di'flashback' sebulan sebelum itu, teman menghadapi simptom yang sama malah menyebabkan suhu badan teman agak tinggi berbanding biasa hampir seminggu lamanya.

Usahkan air badak cap kaki tiga, buah kembang semangkuk pun suami tercinta usaha carikan bagi menghilangkan kepanasan badan namun selepas menjalani pemeriksaan di sebuah klinik lain di Silibin, doktor mengatakan perubahan hormon yang menyebabkan teman berkeadaan sedemikian.

Ketika itu, suami membuat andaian awal atau mungkin menaruh harapan mengatakan teman hamil. Namun, sedikit kekecewaan kepada kami berdua apabila urine test menunjukkan teman belum berisi lagi.

Lebih menambah kekecewaan, beberapa hari berikutnya teman datang period. Meskipun masih awal usia perkahwinan kami, namun kadang kala teman terfikir betapa beruntungnya mereka yang bunting pelamin!

Nyata...berita kehamilan teman ini menyelubungi atmosfera kegembiraan kami di Ipoh, rumah mentua di PJ dan famili teman di Melaka. Keterujaan kami ketika itu mencapai ke tahap maksima.

Mana tidaknya, teman dan suami adalah anak sulung dalam keluarga masing2, maka bayi ini akan menjadi cucu sulung bagi kedua2 keluarga.

Nampaknya...beberapa bulan akan datang semua orang akan naik pangkat! Semoga kandungan ini dalam keadaan sihat, sempurna dan selamat hingga dilahirkan. Amin...

No comments:

Post a Comment