22 November 2009

Pengembaraan Ke Dunia Yang Hilang

(Versi Khalish bercerita : diterjemah dan ditafsir bahasanya dengan bantuan ibu)

Khamis lepas, saya dibawa ayah dan ibu ke Lost World of Tambun (LWOT). Ibu kata ini tempat
menarik untuk saya mempelajari satu lagi sesi pembelajaran dan pengalaman baru mengenai dunia haiwan.

Aktiviti pertama kami apabila sampai di depan LWOT adalah berposing. Ayah saya yang jadi tukang amik gambar. Sebenarnya saya pelik melihat beberapa ekor kucing 'resaksa' yang dah jadi patung kat depan pintu masuk taman tema tu. Tapi macam biasa, saya buat muka cool jerk, lebih-lebih lagi bila depan kamera.

Selepas masuk ke dalam taman tanpa bayaran (sudah tentu, saya masih berada bawah paras 90cm malah ayah saya dapat tiket masuk free), saya kemudiannya dipakaikan ibu dengan alat yang menyebabkan saya tergantung macam beg sekolah. Macam biasa saya memang tak suka dengannya (oh...apalah nasibku...).

Namun, ibu memberitahu saya perlu memakai baby carrier itu supaya ibu dapat mengendong saya yang sudah 7.7 kg ni dengan selamat dan mengurangkan kepenatannya. Saya faham ibu tidak mampu mendukung saya dalam tempoh yang lama disebabkan perut ibu belum pulih sepenuhnya. (psst...saya la yang keluar dari perut itu).

Kami berjalan kaki mencari jalan masuk ke Petting Zoo. Jauh sungguh rasanya (sebenarnya ibu dan ayah terikut jalan jauh) hingga saya kat belakang ibu berpeluh-peluh dan naik rimas. Dalam perjalanan, kami terjumpa dengan penempatan Harimau Siberia. Saya rasa harimau tu tak mengaum tapi saya dengar bunyi ngauman yang telah direkodkan. (Auum...macam tulah bunyinya).

Perjalanan kami menjadi lebih mencabar bila dua ekor angsa yang berada ditepi laluan cuba beramah mesra dengan kami dengan muncungnya. Keadaan itu membuatkan ibu takut kami dicatuk dan melarikan diri ke kolam ikan berhampiran. Penyelamat kami siapa lagi kalau bukan ayah yang berani-berani-takut jalan bersebelahan angsa di samping cuba mententeramkan saya dan ibu.

Akhirnya kami sampai di pintu masuk Petting Zoo, ada sebuah booth menjual makanan haiwan.
Tiba-tiba saya mula kelaparan. (oh...ibu, bagilah makan anakmu ini dulu). Kami kemudiannya singgah di sebuah kedai minuman bertentangan dengan gerai berkenaan. Kami melepaskan lelah dan dahaga di situ. Saya makan puri epal manakala ibu dan ayah minum jus mangga dan kerepek.

Selepas itu, kami memulakan sesi lawatan dengan melihat beberapa ekor rakun yang dinamakan
'Ruby dan kawan-kawan'. Berbanding ayah yang berani memberi makanan kepada haiwan berkenaan (panjang betul kuku dan tajam giginya), ibu memilih untuk membawa saya di depan cermin yang memisahkan kami dan Ruby. Ruby yang ke hulu ke hilir tanpa henti membuatkan saya terkejut melihat aksinya. Mujur ibu memegang saya dengan kuat...

Kemudian, kami masuk ke kandang arnab. Comel sungguh arnab itu sampaikan saya nak menarik muncungnya. Ibu takut arnab itu menyangkakan tangan saya adalah lobak dan menjauhkan saya dengan arnab itu.

Kami kemudiannya ke terowong kaca yang menempatkan beberapa spesis ular yang pemalas dan asyik tidur saja. Ayah memberitahu saya ular tidak aktif pada waktu siang berbanding malam. Bersebelahan ular ada biawak resaksa yang sedang berjaga. Takut betul saya....

Saya teruja bila melihat haiwan kecil berwarna warni berterbangan bila kami masuk dalam sangkar mereka. Ibu kata itu adalah burung. Ayah membeli sepeket makanan burung berharga RM1 dan memberi mereka makan. Saya dan ibu hanya mampu menempelkan diri bersebelahan ayah untuk bergambar bersama haiwan kecil itu.

Kami kemudiannya ke kolam kura-kura. Ada yang besar, kecil ...semuanya sedang bersantai dan
berenang di dalam air bersama ikan.

Selepas melihat burung kakak tua, hamster (yang montel2..oh, rasa nak picit2) dan kera kecil yang pandai berposing, saya mula rasa mengantuk...saya akhirnya landing di dada ibu. Nasib baik ibu mengipas saya kerana rasa panas membuatkan saya resah dan berpeluh.

Semasa saya tidur, ibu menceritakan satu peristiwa ketika kami ke kawasan yang menempatkan rusa, wallabe dan chipmunk @ tupai tanah. Rupanya semasa di pintu masuk, ayah diserang dua ekor kambing yang terhidu bau palet dalam poket ayah. Habis t'shirt belakang ayah digigitnya. Ibu berjaya menyelamatkan saya dengan berlari ke pintu masuk. Memang tak de disiplin punya kambing. Kalaulah saya berjaga masa tu, memang saya tarik2 telinganya.

Ibu dan ayah berjanji akan membawa saya ke sini lagi bila saya dah besar dan boleh berjalan tak lama lagi. Tak sabar nak tunggu saat itu kerana ibu sudah tentu membenarkan saya memegang dan bergambar dengan haiwan-haiwan itu. Sekian untuk cerita kali ini. Dah ngantuk, saya nak tidur. Tata...

Yang mengembara,
Muhammad Adib Khalish
(bantuan terjemahan bahasa oleh : Ibu saya)

1 comment:

  1. apsal xleh komen kat yg pakai baju konvo tu yer?akak pun ada pegi konvo adik kat poli pd last year..

    ReplyDelete