08 March 2010

Salam Takziah Dari Kejauhan


Sumber pix : dari Kosmo Online

Lewat petang semalam, Cik Abang kol mengkhabarkan kejadian malang yang menimpa keluarga teman sebilik saya, Yani yang sama-sama menuntut di MIIM, beberapa tahun lalu.

Beritanya family Yani - Ibu dan 3 lagi adiknya ditimpa kemalangan jalan raya selepas bercuti di Genting Highlands. Kemalangan itu mengakibatkan Yani kehilangan adiknya, Hana Natasya buat selama-lamanya. Manakala, adik bongsunya Kimi dikhabarkan cedera parah. Mujur ibunya dan adik yang kedua, Yana mengalami cedera ringan.

Saya tersentak mendengar khabar buruk itu. Ini kerana hubungan Yani dan saya rapat dan saya pernah menziarah keluarganya beberapa kali semasa kami belajar. Malah, Yani dan adik beradiknya ada menghadiri majlis perkahwinan saya dua tahun lalu.

Apabila mendapat khabar duka sebegini, sudah tentu perasaan saya yang senipis kulit bawang ini agak tersentap dan tersentuh. Saya dapat gambarkan sungguh perit perasaan mereka sekeluarga menghadapi dugaan ini.

Tragedi seperti kemalangan yang membabitkan keluarga, sanak saudara atau teman rapat, sudah tentu tempias sedihnya turut dirasai. Tidak terkecuali saya. Perasaan ini adalah berlainan dengan rasa simpati terhadap mereka yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan diri saya. Dalam erti kata lain, tak kenal langsung. Hanya kenal menerusi berita di kaca tv atau laporan akhbar.

Saya adalah individu yang lewat mengetahui berita sedih ini. Saya doakan dari kejauhan Yani dan keluarga diberikan kekuatan mengharungi situasi yang menuntut kesabaran dengan secekal mungkin. Moga Allah menyelamatkan Kimi yang menja dan murah dengan senyuman itu. Al-Fatihah untuk arwah Tasya. Wajahnya yang manis kekal dalam ingatan saya. Moga Allah menempatkanmu di sisi mereka yang beriman. Amin...

Berita selanjutnya di petik dari Bernama :

Adik Wartawan TV3 Pahang Maut Kemalangan Di LPT

MARAN, 7 Mac (Bernama) -- Adik perempuan wartawan penyiaran TV3 Pahang, maut dalam kemalangan jalan raya di Km 157.3 Lebuhraya Pantai Timur di sini, malam Sabtu, manakala ibu dan dua lagi adik kepada Herryanie Salehin cedera.

Hana Natasya Salehin, 21, mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala manakala ibunya, Norkhairol Awang Taram, 46, kakak mangsa, Hizieyana, 23, cedera ringan dan adik lelakinya, Haizal Hakimi, 8, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Ahmad Johari Shahabudin berkata kejadian dipercayai berlaku ketika empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan setelah pulang dari pusat peranginan Genting Highlands.

Beliau berkata kemalangan pada pukul 8.15 malam itu dipercayai berpunca daripada kereta Toyota Vios yang dipandu ibu mangsa yang berada di lorong perlahan cuba bertukar lorong sebelum terlanggar bucu belakang kereta jenis Perodua Kancil yang berada di hadapannya.

"Akibat perlanggaran itu, Kancil itu berpusing beberapa kali sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya manakala kereta yang dinaiki mangsa terbabas serta merempuh sebuah kereta jenis Proton Wira yang berhenti di lorong kecemasan kerana rosak," katanya.

Beliau berkata rempuhan kuat itu menyebabkan kereta mangsa melambung tinggi sebelum menghempap sebuah lagi kereta jenis Proton Waja yang berhenti di hadapan Wira berkenaan.

Ahmad Johari berkata Hana Natasya, seorang pengusaha pusat cuci kereta di sini, yang duduk di bahagian hadapan dilapor tercampak keluar dari kereta.

Haizal Hakimi pula, katanya cedera parah dengan patah tangan dan kaki kanan serta cedera di tengkuk.

Beliau berkata seorang lagi mangsa yang parah ialah penumpang kereta Wira, Mashasmila Mohd Ali, 30.

Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.

Sementara itu, Herryanie yang ditemui di unit kecemasan Hoshas malam Sabtu berkata dia menerima panggilan daripada ibunya yang memaklumkan kejadian itu ketika sedang menonton televisyen bersendirian di rumah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment