28 March 2010

Terkena Buatan Orang

Salam ukhwah untuk semua,

Bersawang-sawang sungguh blog saya ni. Maaflah, sengaja saya tidak mengupdate blog kerana kesihatan kebelakangan ni tersangat tidak mengizinkan.

Bila buka laptop je, kepala saya berpinar-pinar, rasa berpusing macam lepas naik roller-coaster dan perut rasa semacam. Tak sempat nak check email dan baca blog geng mesyuarat tingkap, terus saya logout. Tak sanggup nak tunggu lama, sebab kepala rasa nak mereng. Akhirnya, saya menghabiskan masa sendirian (masa ni time Khalish tidur) dengan membaca buku-buku tulisan Abd Jalil Ali atau bermain sudoku.

Bab makan pula, selera saya dah bertukar arah. Semua menu yang berasaskan ayam saya tolak tepi. Tengok ayam kat pasar malam (terutama kaki dan kepala ayam) pun, perut saya memulas semacam, tekak pula jangan cerita kembang seakan ingin memuntahkan laharnya.

Penyudahnya, saya cari makanan masam untuk menyedapkan tekak. Sampaikan saya rela makan ikan kering goreng cicah air asam. Kenikmatannya bila masuk ke tekak tersangatlah sukar diterjemahkan menerusi perkataan.

Pada masa sama, Khalish pula asyik meragam tak tentu pasal - tendang-tendang perut saya, merajuk tak tentu pasal selain menangis sedu sedan bila saya tinggikan suara tegur perbuatannya. Bila malam pula, tak nak tidur dengan saya (siap beralih tempat nak tidur sebantal dengan ayah dia). Itu cerita beberapa minggu lepas, sekarang Khalish dah kembali ceria seperti biasa.

Memula saya pelik juga kenapalah Khalish jadi macam ni. Saya pula beranggapan mungkin perubahan bulan membuatkan Khalish bertindak demikian manakala hormon tubuh saya tak stabil dan membuatkan saya berkeadaan begitu.

Petang esoknya, kami bertiga pergi ke Watson membeli Dip n Tell (pregnancy test kit). Saya sabar menanti ketibaan subuh untuk memulakan sesi ujian kehamilan sendiri. Beberapa saat kemudian, saya yang sebelum itu pejam mata, membuka sebelah mata untuk melihat hasilnya. Glurp....tertelan air liur dibuatnya apabila saya melihat ada dua jalur berwarna merah jambu di atas penanda urin.

- pix credit to google images-
Lantas, saya segera memanjat 16 anak tangga rumah untuk menunjukkan hasil ujian pada Cik Abang. Tanpa berkata-kata, saya dihadiahkan sebuah ciuman. Saya termanggu-manggu sendirian. Kami langsung tidak merancang. Hanya melakukannya sendiri dan nampaknya Allah mengurniakan rezeki secepat ini.

Pengesahan doktor meramalkan saya hamil 5 minggu menguatkan fakta saya 'terkena buatan orang' buat kedua kalinya. Saya tidak pasti samada saya bersedia dari segi fizikal, mental atau emosi. Bila dikenang masa mengandung dan melahirkan Khalish dulu, peluh sejuk saya dibuatnya.

Aduhai...regangan di perut masih belum hilang sepenuhnya. Berat badan saya confirm tak sempat nak turun hingga 50kg. Luka operate ntah dah ok ke belum kat dalam tu, tapi parut dah tak kelihatan. Bukan menolak rezeki, tapi hakikatnya perasaan risau sukar dibuang jauh-jauh.

Risau jika saya tidak mampu melakukan seperti yang diharapkan. Risau jika tak mampu nak menjaga tiga orang (suami + 2 anak) serentak kelak. Risau jika saya tak mampu melahirkan secara normal dan risau jika tubuh badan saya 'membelot'.

Apapun, saya cuba mengambil inspirasi nenek - sebelah ayah yang mampu melahirkan dan menjaga 16 orang anak, nenek - sebelah emak yang mampu menjaga 9 anak dengan sebaiknya dan emak - yang tabah membesarkan kami 5 beradik.



Akhirnya, saya sedar ini adalah lumrah kehidupan bagi seorang wanita. Ini dinamakan pengorbanan untuk membina sebuah keluarga dan kehidupan bahagia. Syukur alhamdulillah...Nampaknya Khalish juga bakal bergelar abang tidak lama lagi. Harap-harap dia gembira kerana tak lama lagi ada teman untuk menemaninya bermain kelak.

Wassalam.

3 comments:

  1. alhamdulillah.... tahniah dari akak... doakan akak mengikut jejak yang sama...

    ReplyDelete
  2. tahniah...wah tak lama lagi lah khalish nk ada kawan dah...yey!!

    take care yer :)

    ReplyDelete
  3. Mama Aqilah,
    Saya doakan mama ikut jejak langkah saya tak lama lagi. Kesian Aqila dok main sorang2...

    Ibu_Arifa,
    terima kasih.

    ReplyDelete