24 April 2010

Serabai @ Kuih Mayat (pedulikan nama lainnya janji lepas hajat nak makan)


(Peringatan : Ini entry suam-suam kuku yer)
Seminggu lalu, giliran kami sekeluarga pulang ke kampung halaman Saya di Masjid Tanah, Melaka. Rindu bangat rasanya cam berbulan-bulan tak balik kampung padahal dah jumpa Mak Ayah dan adik beradik di KL beberapa minggu sebelum tu - melawat Mak Mentua yang dimasukkan ke hospital.

Tiga hari sebelum balik kampung, Mak ada telefon memberitahu beliau sudah menempah khas kuih yang Saya 'termengidam'kan iaitu kuih serabai di Pasar Malam Kuala Sungai Baru. Secara tak langsung, saya rasa macam 'termeleleh air liur' bila terkenangkan rupa paras serabai yang tak seberapa tu.

Di Ipoh, susah betul nak jumpa serabai - mungkin kuih ni tak popular seperti di Selatan. Cik Abang @ Orang Sebelah Saya bila diberitahu kuih serabai ni juga dipanggil kuih mayat, secara spontan menunjukkan riak muka geli geleman (hek eleh...lebih-lebih pulak, cubalah berlagak jaga perasaan Saya yang mengidam ni).

Saya faham mungkin dia tak pernah makan makanan kampung ni memandangkan dia berasal dari bandar.

Kami tiba di kampung kira-kira jam 3.30 petang. Saya sabar menanti ketibaan serabai kerana Ayah bercadang mengambilnya jam 6 petang nanti. Tahu-tahu selepas mandi, Azam (satu-satunya adik lelaki Saya) memberitahu kuih yang dinantikan telah selamat sampai di dapur.

Tanpa menunggu, saya ke dapur membuka plastik kuih serabai. Aduhai...masih panas lagi. Bau minyak kelapa menusuk hidung mancung saya ni. Azam memberitahu lagi Ayah keluar mencari durian untuk ditambah dalam kuah gula Melaka untuk dicicah dengan serabai. Aduhai...terharu saya.

Walaupun Ayah membeli kesemua kuih serabai yang dijual mak cik kat pasar malam tu (9 keping je pun...- 3 keping = RM1) ditambah dengan putu mayam, saya hanya lalu makan 3 keping je pun. Sedap sungguh rasanya bila dimakan bersama kuah gula Melaka bercampur durian yang Emak sediakan. Lepas hajat....

Walaupun mengidam macam nak makan banyak, tapi bila ada depan mata, makan tak banyak mana pun. Orang Sebelah Saya yang sebelum ni geli geleman dengan nama lain serabai ni pun, Saya tengok khusyuk je menjamah...2 keping lagi. (ha...tu la, belum rasa belum tau sedapnya).

Mak ada memberitahu, serabai sering dijadikan juadah wajib apabila kenduri arwah diadakan di kampung-kampung. Mitosnya, fizikal kuih berkenaan kononnya melambangkan keadaan arwah di dalam kubur. Bunyinya macam menggerikan, tapi...lupakan saja cerita yang membuatkan anda tak lalu makan kuih tu.

Apa yang sebenarnya, pada waktu itu kos membuat kuih berkenaan adalah termurah dan mampu dihasilkan dalam kuantiti yang banyak. Sekarang ni, susah nak jumpa serabai masa kenduri arwah.

Mungkin orang lebih berselera dengan nasi dan lauk pauk yang lebih menyelerakan untuk dijamu berbanding kuih mayat!

No comments:

Post a Comment