19 December 2012

Ciptaan Terindah

Pemandangan awan di taman perumahan saya sentiasa mewarnai pemandangan. Subhanallah...

13 December 2012

Keletah Si Keju & Coklat

Kalau tak si abang yang mengusik, adik pulak yang cari pasal. Tiap-tiap hari peranan yang sama dimainkan orang yang sama. Abang sayang adik, tapi masa yang sama abang juga suka buli adik. Begitu sebaliknya. Aksi spontan ini dirakam selepas solat maghrib baru-baru ini. 

10 minit pertama - elok berbualnya walaupun bahasa hanya mereka memahaminya
 
Hah adik nak gi mana tu

Duduklah, kita tak habis borak lagi ni.

Kan dah senget kopiah tu

Drama king la adik ni, konon mengadu abang buli dia.      




11 December 2012

Tips Menghadiri Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera & Kecergasan

Sabtu lepas saya telah menghadiri pemeriksaan fizikal, pancaindera dan kecergasan bagi jawatan Penolong Pegawai Pertahanan Awan S27. Dukacitanya dimaklumkan saya terkandas pada bahagian ujian pancaindera sebab rabun silau yang melampau.

Walaupun sebelum ni En Bapak beberapa kali mengajak saya membuat cermin mata, saya menolak dan enggan menerima kenyataan bahawa diri ini rabun. Namun, selepas pemeriksaan berkomputer di focus point semalam, saya akur dan akhirnya mengaku diri ini rabun. Yeah, rabun silau je ok.

Rasa sedikit terkilan sebab saya memang minat untuk bekerjaya dalam unit beruniform satu, sebab tak yah fikir nak pakai baju apa bila nak pergi kerja, dua sebab nampak smart je dalam uniform. Tiga, gagal hanya disebabkan tak boleh nak baca huruf dengan baik. Hoi! Benci tau. Lainlah sebab gagal tak dapat panjat tali ke, tak habiskan larian 2.4km dalam masa 17 minit ke, tak larat angkat tangga 90 darjah ke. Rabun?? Memang tak dapat nak tolonglah.

Walaupun begitu,  rasa terkilan tu tidaklah seteruk terkilan tak lulus periksa penerangan kat Alor Setar tu sebab dah serap maklumat bagai nak rak sampai 3 pagi, pastu sanggup pulak buat ulangkaji balik soalan math masa sekolah menengah dulu (padahal time sekolah pun malas nak buat latihan), alih-alih time periksa tak leh jawab dengan baik juga. Perasaannya sungguh meruntu qolbu. Penah rasa? Penah? >Eh, melalut sangat jauh.

Baiklah, di sini dengan rendah diri saya ingin berkongsi tips untuk mereka yang pertama kali menghadiri ujian pemeriksaan fizikal SPA ini. Kebiasaannya pemeriksaan ini khusus bagi 24 jawatan beruniform yang dipohon calon. Pendek kata, hanya mereka yang cergas, sihat fizikal, dan berjiwa kental saja mampu melepasi pemeriksaan ini.

Diingatkan bahawa tips ini hadir daripada pemerhatian, pengamatan dan pengalaman sebenar saya. Baiklah, saya kongsikan tips JANGAN dulu ye:

JANGAN PERGI:

1) Kalau ketinggian dan berat korang tidak seimbang. Dalam erti kata BMI terlebih. 
Dalam surat panggilan ada menyebut SPA menetapkan ketinggian minima bermula daripada 1.57m bagi lelaki dan 1.53m bagi wanita tanpa sepatu, ataupun berat minima 48kg bagi lelaki dan 46kg bagi wanita. 

Kalau dah periksa BMI dan pasti bahawa julat diperlukan tidak melebihi 19-26, korang boleh pergi dengan senang hati. Agak-agak kalau BMI tersasar jauh daripada julat berkenaan, saya syorkan rileks saja di rumah pada hari pemeriksaan berlangsung.

Cara macamana nak kira BMI, korang boleh google sendiri caranya ataupun lagi mudah buat macam saya cari je mesin BMI yang ada kat pusat membeli belah. Masuk je 40 sen automatik dia akan keluarkan sekeping kertas tercatat berat, ketinggian, BMI dan julat BMI lagi. Senang bukan?

Sebab apa kena periksa BMI siap-siap? Saya perhatikan kebanyakan calon berbadan besar (maafkan saya), terkandas pada sesi ujian fizikal dan diarah pulang selepas itu. Jangan marah penguji pulak kalau BMI korang terlebih ye. Salahkan diri sendiri. Tapi, kalau rasa "alahai blogger ni, memandai tak bagi pergi apahal. Biarlah, orang nak cari pengalaman". Oh, bukan tak bagi pergi cuma rasa kasihan pulak sebab nanti pengalaman anda setakat ukur ketinggian dan berat je pun. Kalau lepas oklah, kalau tak disuruh balik juga. Makanya, pengalaman korang setakat daftar, tunggu giliran diperiksa, ukur tinggi dan berat. Kendian balik. :) (Pastu lalu pulak depan keluarga dan kerabat calon lain yang datang sambil mendengar suara-suara halus cuba lagi ye dik. Dah macam budak AF terkeluar pun ada gak. Sebel ok).

2) Kalau yang dah kahwin dan disahkan mengandung tak kiralah berapa bulan sekali pun disyorkan tarik diri awal-awal. Sesi yang saya hadiri tempohari ada seorang calon yang mengandung 6 bulan. Molek je orangnya tak nampak pun macam mengandung. Pengawai penguji ada maklumkan, mereka tidak menghalang namun mengesyorkan calon berkenaan tarik diri sebab tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Tambahnya lagi, kalau berkeras juga, mereka minta calon buat satu surat dan tandatangan beserta suami calon sebagai saksi. 

Calon yang datang ini, pertama kali dipanggil SPA (time mengandung lak tu, teringat masa mengandungkan Khalish dulu dapat panggilan bomba, dah 8 bulan apahal nak pergi, kang tak memasal terberanak awal) so dia khuatir SPA senaraihitam nama dia. Jangan risau, ada rezeki nama anda akan dipanggil kelak. Macam saya, tahun ini alhamdulillah dah tiga kali SPA panggil. Tapi yang lepas satu jelah, tu pun PAC tahun depan. Syukur. 

3) Kalau rasa rabun macam saya silalah test power kot-kot ternampak pulak time nak diuji tu. Ujian penglihatan dilakukan berasingan kiri dan kanan. Tanpa cermin mata / kanta lekap (diorang check tu). Mula-mula diorang tunjuk huruf kat carta ujian penglihatan secara rawak. Lepas satu baris, baris berikutnya. Kurang-kurang pun markah yang diperlukan V/6/9.

Malang betul saya sebab masuk baris ketiga je saya main sebut je huruf yang ada sebab betul-betul imej yang terhasil seakan melarut dalam iris. Saya rasa penyumbang utamanya adalah lampu bilik berkenaan yang membuatkan mata saya silau. Dah la jarak berdiri 20 kaki, sah-sah huruf yang halus-halus tu takkan nampak. *sudahlah, banyak alasan pulak dia ni. dah rabun tu terimalah hakikat walaupun sukar ditelan. ceh...

Kalau yang rasa rabun warna tu, jangan ingat selamat. Ujian rabun warna dan pendengaran pun ada lepas tu, kalau tak lepas, silalah balik juga. 

4) Ada penyakit kronik atau kecacatan. Ada calon yang dari mata kasar nampak semua ujian boleh lepas. Tapi, tidak sebenarnya. Ini ditentukan semasa pemeriksaan fizikal (sesi ini dikendalikan berasingan jantina) di mana calon perlu membuka baju untuk memastikan bahu, tangan atau kaki tiada bengkok. Sebab apa, saya rasa ini penting untuk memastikan calon yang terpilih nampak segak ketika berkawat dan bertugas.  

Oleh itu, katakanlah sebelum ini calon ada kemalangan - patah di mana-mana anggota, penting untuk memasukkan besi untuk membetulkan semula allignment supaya tidak kekal bengkok. Orang kata simen je boleh elok. Memang tulang akan cepat tumbuh tapi belum tentu akan kembali ke bentuk asal. Ada faham?

Baiklah, info JANGAN hanya setakat itu yang dapat saya senarai dan kongsikan. Kalau ada lagi akan saya update kelak.

SILA BUAT:

1) Mulakan ujian kecergasan diri. Kebiasaannya, surat panggilan akan diberikan tiga minggu sebelum tarikh pemeriksaan dilakukan. Tempoh ini bagi saya cukup untuk untuk calon membuat persediaan kecergasan.

Bagi saya yang dah empat tahun tak melakukan rutin senaman tetap, memulakan dengan langkah membeli pakaian sukan selengkapnya. Walaupun tak tahu lepas ke tak, haruslah dijadikan elemen ini sebagai pembakar semangat. hehehe...Baju, seluar, kasut sukan, stoking adalah asas pemakaian diperlukan. Bagi wanita pula, silalah menyenaraikan bra sukan sebagai sokongan terpenting. Korang mesti nak berjogging tanpa sebarang bebanan bukan? Saya syorkan cari bra sukan jenama Audrey di Aeon. Tips membeli bra sukan akan saya kongsikan entry berikutnya.

2) Jadikan sebagai rutin harian dan tambah mengikut kemampuan. Pada mulanya saya memulakan jogging di kawasan padang bola di taman dengan 1x pusingan dengan berjalan dan 1x pusingan dengan berlari. Korang goggle lah sendiri cara-cara memulakan senaman / berjongging dengan betul. Beberapa hari minggu pertama kaki terutamanya peha dan betis akan terasa berat dan sengal. Saya suka memandai mengatakan ianya proses pecah lemak. Nak-nak bila bangun tidur, perghh...memang banyak lemak rasanya. 

Bertabahlah sebab minggu berikutnya, masalah itu tidak akan berlaku dan mampu membuatkan anda lari 3 pusingan dengan jayanya. kalau ada masa sebelah petang, cuba buat senaman aerobik 30 minit. Cari je dalam you tube melambak. Cari yang simple dan bersesuaian.

3) Kalau rasa sengal-sengal juga dalam tempoh persediaan, silalah dapatkan bantuan tukang urut ataupun mesin urut RM10=30 minit. Memang membantu mengurangkan kesengalan dan stress akibat bersenam.

4) Kurangkan makanan berlemak dan berminyak. Eceh...dah macam program penurunan berat badan lak rasanya. Jangan pulak hari pemeriksaan korang bedal nasi lemak sebungkus. Cukup sekadar roti dan air.

5) Siap berpakaian sukan pada hari pemeriksaan. Tak payah nanti terhegeh-hegeh baru nak tukar pakaian lepas berdaftaran. Buang masa hokey. 

Itu saja sedikit perkongsian daripada saya. Harapnya korang dapat gambaran untuk menghadiri pemeriksaan fizikal, pancaindera dan kecergasan kelak. Rajin-rajinlah buka website SPA. Banyak info yang boleh diperolehi. Selamat maju jaya dan mendapat kerja. 

Sekian,
Ikhlas daripada saya yang akan menyenarai keluar semua permohonan jawatan yang melibatkan ujian penglihatan.Tapi, akan berusaha mengumpul dana untuk buat LASIK dengan Prof  Dr Muhaya. 
In Sha Allah. 

notajari: Walaupun terkandas, sekurang-kurangnya berat saya turun 900gm dalam tempoh 2 minggu. So, lepas ni kena teruskan berjogging untuk kecergasan diri. :)


UPDATED: 24/9/2013

#SPA kini telah menyediakan video pemeriksaan fizikal dan pancaindera menerusi laman webnya di bahagian panduan. Sila cari untuk tambahkan pengetahuan anda ok#. 


07 December 2012

R&Y Homestay Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah, Melaka

Akhirnya tertunai hasrat Ayah dan Bonda tercinta saya memiliki homestay sendiri. Homestay R&Y yang mengabadikan pangkal nama mereka sekarang dah hampir tiga bulan usianya. Ibarat kata masih dalam tempoh honeymoon :>.Baru sangat.

Hasrat awal Ayah mahu dirikan sebuah chalet dua tingkat, namun kawasan tanah yang sedia ada tidak mengizinkan rancangan berkenaan direalisasikan. Sudahnya sebuah rumah teres setingkat menjadi realiti. Syukur alhamdulillah.

Berhadapan dengan laut Selat Melaka, homestay dua bilik termasuk tiga bilik air ini turut menawarkan ruang tamu yang luas, kelengkapan memasak yang lengkap, peti sejuk dan mesin basuh untuk mereka yang berkeluarga khusus beragama Islam.

Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan antaranya bersantai di tepian pantai, bbq dan sebagainya. Lebih menarik, anda juga boleh membuat tempahan makanan kepada pemilik homestay yang juga katerer pada kadar yang amat berpatutan.

Setakat ini, sambutan yang diterima amat memberansangkan, malahan ada yang sudah menempah untuk sewaan tahun hadapan. Harganya? Homestay atau penginapan sebuah rumah takkan sama dengan dengan harga chalet atau resort bukan?

Izinkan saya berkongsi sedikit gambaran penginapan di sini:
Ruang tamu
Ruang dapur  (eh anak sape la tu)
Untuk maklumat lanjut sila ke link berikut R&Y-homestay.

Sekian. 



22 November 2012

Musim Udang Geragau Di Melaka

Kalau balik ke kampung halaman saya di Masjid Tanah, saya selalu berharap ada bahan utama makanan kegemaran saya yang singgah hanya ikut bermusim, iaitu udang geragau. Sepanjang tahun ni memang tak jumpa langsung masa balik kampung. Kadang-kadang memang rasa hampa.

Alih-alih balik kampung sebulan tempoh hari, akhirnya berjumpa juga dengan musim geragau ni. Kami orang kampung panggil 'gagau' saja. Kalau dulu musim geragau adalah antara bulan Ogos hingga Disember berikutan arus laut kurang bergelora. Namun berikutan cuaca sekarang tidak menentu musim geragau juga sukar dijangka. 

Aktiviti menangkap anak udang dipanggil melanggai dan untuk itu, sebuah alat khas dinamakan penyungkur - diperbuat daripada dua batang buluh atau kayu, jaring yang dijahit seperti pundi barang serta pelampung digunakan untuk tujuan menangkap yang bergerak secara berkumpulan di atas permukaan air dan dasar pasir. 

Bukan senang nak menangkap gagau ni. Saya pernah berbual dengan seorang pencari geragau beberapa tahun yang lalu. Katanya, antara risiko pencari geragau termasuklah digigit ikan, disengat obor-obor atau onggong (seakan anak ikan keli) namun bisanya mampu membuatkan anda ke hospital. 
Geragau adalah rahsia cincaluk dan belacan yang enak. Kalau dulu, geragau mudah saja nak dapat di sekitar kawasan Pantai Klebang, Lereh, Batang Tiga hinggalah ke Tanjung Kling. Namun, disebabkan kegiatan menambak pasir aktiviti ini semakin berkurangan. Kalau ada, janganlah lepaskan peluang membeli.

Selain itu, udang geragau enak dimasak asam rebus, cucur, bebola udang, petis selain digoreng bersama telur (resepi baba nyonya). Insyaallah, kalau berkesempatan saya akan kongsikan resepi kelak. 

Beberapa hari sebelum kami kembali ke Ipoh, semasa saya memandu ke Masjid Tanah, saya perasan ada penjual geragau yang hanya membuka dua meja di tepi jalan di kampung sebelah (Kampung Sungai Kertah) yang menjual setimbun geragau segar. Apalagi, haruslah saya cepat-cepat berhentikan kereta dan membeli. Sekilogram hanya RM5 dan terus saya memborong dua kg. 

Balik rumah Mak, apalagi terus buat cekodok geragau dengan pantas. Tak sampai setengah jam, sudah siap dijamah bersama sos. Terasa udang segar yang didambakan selama ini. Fuh...memang terasa hidup biar sedap. hehehe. Nak resepi geragau yang enak bangat dari Mak saya? Silalah berkunjung ke blog resepi saya ye atau tekan je sini.

Pesanan khidmat masyarakat dari saya, kalau ada masalah alahan dan resdung silalah kurangkan ambilan geragau kalau hidung anda nak selamat dari kegatalan. hehehe...

19 November 2012

LAP Lepas Tangan. Baguslah!!

Balik dari kampung tempoh hari, saya perasan batu penutup longkang depan pagar rumah retak menanti belah. Nak tak nak kena masuk elok-elok untuk parking ke garaj. Seriau juga kalau-kalau nanti tayar kereta termasuk dalam longkang tak pasal-pasal pulak. (hah, apahal banyak sangat kata ganda dalam perenggan pertama nih *geram punya pasal).

Selepas diselidik dengan jiran sebelah anak beranak, mereka sebulat suara mengatakan keretakan mungkin berpunca daripada jengkaut / lori LAP yang datang betulkan salur paip taman depan rumah. Anak jiran perasan, ada lori yang menurap kembali kawasan yang dikorek berada di atas penutup longkang berkenaan. Mungkin untuk mengundur lori atau sebagainya. Baiklah,saya kan menghubungi LAP dalam masa terdekat.

Dua tiga hari kemudian hujan lebat, saya dapati penutup yang retak tu semakin melendut ke bawah. Mungkin kerana kelembapan batu penutup berkenaan nampak semakin tidak mampu bertahan lama dan akan terbelah dua. Tak boleh jadi, saya panjangkan aduan kepada LAP bahagian operasi mengenai masalah berkenaan dan mengharapkan mereka bertanggung jawab. Laporan saya diterima dan mereka berjanji melakukan siasatan.

Jadi, semalam datanglah seorang staf LAP melihat-lihat keadaan. Saya jelaskan keadaan yang saya hadapi. Pak cik tu, hah pak cik yang suka makan muruku tu mati-matian menekankan pihak mereka tidak bersalah dan menyatakan kawasan operasi mereka dan kesan retakan berada jauh dan tak memungkin mereka melakukan kesilapan. Ceh...ingat saya saja reka cerita ke apa.

Yang dikorek adalah kat tong sampah hitam sinun.
Tambahnya lagi, kalau betul mungkin dua atau tiga penutup akan menerima kesan yang serupa. Pergh...memang menyirap darah kalau ingatkan reaksi pak cik tu. Siap geleng-geleng kepala dan tunjuk tangan pada saya mengatakan tak logik. Dah kalau satu penutup tu tak kukuh nak buat macamana. Kereta saya yang lalu hari-hari kat situ baik-baik saja sebelum LAP datang buat operasi. Apa cerita??

Penyudahnya dia suruh saya baiki sendiri kerosakan dan terus blah naik motor macam tu je. 

Bagus LAP bagus. Terima kasihlah kerana memberi satu kemudahan dan masa yang sama mencipta masalah pada saya. Bagus...bagus.

Manalah nak cari penutup longkang ni. Dah la batu, berat pulak tu. Nasib...nasib.

notajari: Agak-agak Datuk Seri Dr Zambry baca tak blog picisan saya nih :

18 November 2012

Akhirnya Merasa Juga Durian Crepe di Meru Raya

Dah berbulan-bulan orang dok canang pasal durian crepe ni. Saya pun ada amik port juga bila jeling-jeling kat fb Cik Min. Setakat jeling-jeling je lah, telan air liur macam orang mengidam. Nak order takut tak sedap bila sampai dan nak ke Batu Caves adalah agak mustahil dalam keadaan sekarang.

So, saya pendamkan saja hasrat murni perut sampailah Rabu lepas akhirnya hajat di hati kesampaian. Itupun selepas menggoogle lokasi pembuat durian crepe di Ipoh, saya menemui lokasi yang paling dekat dengan rumah iaitu di Meru Raya.

Awalnya, berkira-kira juga nak pergi sebab takut nanti hampa tak bertemu dengan resepi asli durian crepe yang menggunakan lima jenis tepung tanpa secubit pun tepung gandum. Tapi, bila difikir-fikir nak tau sedap atau tidak kenalah cuba dulu baru tahu sendiri bagaimana rasanya. Makanya gigihlah saya sms dulu tuan kedai tanya ada buat tak bantal durian hari tu. Lepas diberitahu ada, maka saya terus membawa dua orang 'henbag' saya ke kedai berkenaan yang mengambil masa tak sampai 10 minit dari rumah.

Masuk-masuk je kedai....bagi salam dulu.

Saya: Ni Kak Feena ye, saya yang sms tadi. 
Tuan Kedai : Ye saya. Oh, yang nak durian crepe ye tadi.
Saya: Ni resepi sendiri ke dari Bzee Bakery Kak? (ayat asal yg nak ditanya : ni crepe durian ke ketayap?)
Tuan Kedai : Akak baru belajar ni dari Bzee Bakery. Baru tiga minggu.
Saya: Oh, patutlah. Saya baru balik bercuti sebulan di kampung patut tak jumpa masa search kat internet bulan lepas. 
Tuan Kedai : Dah lama mencarilah ni ye. Dapatlah adik merasa lepas ni.

Saya tahu resepi asal dihasilkan oleh tuan punya Bzee Bakery, dan memang saya nak rasa resepi asli. So, daripada nak beli sebekas terus jadi dua. Sebekas  ada 6 keping = RM10. 

Balik je rumah, terus letak depan En Bapak dan kami anak beranak terus ambil bahagian masing-masing. Gigitan pertama terasa lembut kulit krep tu, kedua rasa krim dan kemuncaknya rasa durian yang macam baru dikopek. Macam kata Chef Jo, meletup-letup dalam mulut!! Wallah...memang kena dengan selera kami hantu durian ni. Dap...dap...dap.

Khalish memang suka dengan durian. So, cepat-cepat dia habiskan crepe yang ada di tangan dan minta lagi 'kek durian' yang ada. Ilhan pun sama tapi dihabiskan kulit crepe tu dulu. hihihi...Bagi saya durian crepe ni, lagi sejuk lagi best makan. Nyaman je masuk tekak bila dikunyah perlahan. Ishh...terasa-rasa kat tekak.

Durian crepe ni elok dimakan segera kerana ia hanya bertahan dua hari. Dah sedapkan, haruslah dimakan cepat-cepat. Kang kalau lambat-lambat takut jadi tempoyak crepe lak. hahaha...Sangat sedap ok crepe dari Feena Cakes Delight ni. Sila serbu ramai-ramai ok.

Alamatnya adalah : No. 34, Hala Taman Meru 11, Taman Meru 2B, Ipoh, Perak. Boleh juga tengok website mereka di sini. Tapikan, lagi  molek kalau sms dulu Kak Feena di no :019-5596869/ 05-528429 tanya ada stok untuk durian crepe tak. Kang datang dah habis, ada yang meroyan lak. hewhewhew...

notajari: Sis Lea @ sallylea ada menjual tepung premix crepes. Beliau juga menuntut dengan puan Bzee Bakery tau. Harga tepung RM15 tapi tak tahulah berapa gram. Durian sekarang ni dah banyak jual merata-rata agak-agak rajin nak buat sendiri boleh contact Sis Lea. Google sendiri no nya ye. tata.


15 November 2012

Kembali Ke Ipoh & Result Exam

Assalamualaikum,

Setelah hampir sebulan tuan tanah, suami dan anak-anak balik kampung, kami akhirnya selamat menjejakkan kaki semula ke Ipoh- tanah perantauan tercinta. Kalau balik kampung tu, faham-faham sajalah line broadband di sebuah negeri yang maju di mana signalnya kadang kala dapat kadangkala tidak.pheww...

Kebanyakan aktiviti berinternet dilakukan menerusi android En Bapak yang kini berada di bengkel Samsung kerana 'sakit tenat'. Paling mendebarkan apabila memeriksa keputusan peperiksaan di portal SPA.

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN MEMASUKI PERKHIDMATAN AWAM PENOLONG PEGAWAI PEMBANGUNAN MASYARAKAT GRED S27

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2.    Keputusan peperiksaan yang telah Tuan/Puan hadiri bagi jawatan yang tersebut di atas adalah seperti berikut:


      Jawatan : PENOLONG PEGAWAI PEMBANGUNAN MASYARAKAT GRED S27
      Keputusan Peperiksaan : Tahniah! Anda LULUS ujian yang telah diadakan pada 07/10/2012

3.    Keputusan muktamad adalah berdasarkan kepada surat pemberitahuan rasmi yang akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.

Syukur alhamdulillah. Terima kasih Allah. Walaupun kena lalui dua peringkat lagi dan tak tentu terpilih untuk jawatan berkenaan, saya lega sangat sebab dah tak sanggup bersengkang mata macam mata gara-gara nak ulangkaji macam-macam maklumat.

Lega sangat-sangat. Senyum sampai telinga naik kebas. Hehehe...


28 October 2012

Tips Menjaga Orang Sakit

En Bapak sekarang dalam percutian panjang (kira-kira 2-3 bulan) gara-gara insiden patah buku lali tempoh hari. Lepas menjalani dua pembedahan memasukkan implan di buku lali beliau, En Bapak sekarang bergerak ke sana sini menggunakan bantuan tongkat yang ditampung di ketiak. 

Emosi orang sakit memang sukar diduga. Ingat bila sakit, dapat rawatan, ubat dan cuti panjang mampu menghilangkan kesakitan sekaligus ke? Oh tidak sesekali. Makanya, sebagai jururawat khas untuk pesakit yang dijaga haruslah memastikan emosi stabil dengan jayanya walaupun dihambat dengan pelbagai tugasan khas lain seperti masterchef rumah, guru, driver, cleaner dan sebagainya.

Tips yang saya ingin kongsikan dan sebagai rujukan sendiri kelak:

1) Emosi - Kita perlu faham pesakit sedang bertarung dengan kesakitan dan emosi yang tidak menentu kadangkala membuatkan mereka marah tak tentu pasal atau mengamuk tanpa sebab. Kadangkala, bukan pada kita pun, maka tak perlu kecik hati bagai pada mereka. Buang masa. Sekiranya penyebabnya kita ketahui hulur bantuan segera kepada mereka.

2) Penjagaan Diri - Bagi pesakit yang melakukan pembedahan, patah anggota badan atau mengalami luka tentu tidak akan dibenarkan mandi bukan. Tugas anda, lap badan pesakit dua kali sehari (air biasa dan air sabun) untuk mengurangkan ketidakselesaan mereka. Rutin harian seperti gosok gigi dan cuci muka jangan lupa pulak. Kalau boleh, basahkan dan syampu kepala mereka sekali.

Paling penting, beli corong shi-shi (bagi lelaki) di farmasi bagi memudahkan mereka membuang air kecil. Senang kerja. Sediakan tuala basah atau tisu basah di sisi mereka.

3) Pemakanan - Minggu-minggu awal pesakit haruslah diberi menu makanan lengkap dengan segala zat. Kalau yang menjalani pembedahan, elok sediakan sup ikan haruan setiap hari tanpa miss. Kalau yang boleh telan pati ikan haruan, lagi bagus. Ayam, telur, makanan laut elakkan dalam dua minggu pertama sebab luka akan menjadi gatal ya ampun. Tapi kalau kat hospital memang menu ayam dan telur masuk senarai, risiko gatal sendiri tanggung ye. Lebihkan sayur-sayuran, buah-buahan dan susu.

Pengambilan ubat atau supplemen perlu diberi mengikut waktu yang ditetapkan. 

4) Ibadah - Ingatkan pesakit untuk menunaikan solat dalam apa jua keadaan kesakitan. Islam itu mudah, maka rujuk rukhsah solat bagi pesakit yang telah termaktub. Hubungan dengan Allah perlu diteruskan dalam apa jua keadaan dan hanya Allah tempat kita meminta pertolongan, oleh itu kita berkewajipan mengingati Allah dengan menunaikan perintahNya.

5) Aktiviti - Dah nama pun pesakit, takkan nak berbaring bantai tidur setiap masa. Jadi, pastikan pesakit ada aktiviti yang mereka suka. Contoh, baca buku, surf internet, main game, sudoku, baca majalah gila-gila atau sebagainya. Lagi afdal kalau pesakit membaca Al-Quran. Untung-untung habis waktu cuti khatam Quran sekali. Kan bagus. Bagi pesakit yang boleh berjalan sendiri mungkin boleh keluar berjalan-jalan untuk mengambil angin.

6) Kasih Sayang - Sesibuk mana pun kita, luangkan masa untuk berbual-bual dengan mereka dan berkongsi pelbagai perkara untuk menghilangkan kebosanan mereka. Jangan melebih-lebih pulak atau jangan buat lawak bodoh. Nanti tak memesal kena jeling dengan si pesakit. Kalau boleh, lakukan urutan atau picitan ringan di bahagian belakang atau bahu mereka untuk menghilangkan lenguh badan. Kalau dah bahagian itu yang tercedera, jangan memandailak nak picit takut nanti ada yang kena hempuk ke dinding. kikiki

Kesimpulannya: Hargailah masa-masa sihat kita dengan sebaiknya. Cuba bayangkan seandainya kita pula yang sakit sudah tentu kita mahukan layanan yang baik daripada mereka yang menjaga kita. Ingat, ini masa kita berbakti kepada yang tersayang. Bukan terpaksa tetapi cuba ikhlas dalam setiap layanan walaupun muka ketat. hahaha...sabar jelah.

notajari : saya kagum dengan Mak dan Ayah saya menjaga arwah atuk dan sekarang nenek dengan sangat sabar dan penuh perhatian. Walaupun nenek bertanyakan soalan yang sama dekat 10 kali (kerana masalah ingatan) mak tetap dengan nada sama menjawab dengan senyuman. Mak katakan pada saya, mak berharap anak-anak mak (kami semua) dapat jaga mak dan ayah bila mereka tidak berupaya sepertimana mak ayah menjaga nenek dan atuk. Insyaallah. *kesatairmatayangbergenang.

27 October 2012

Ilhan Sudah 2 thn

Hari ini hero kedua saya, Muhammad Ilhan Amsyar genap dua tahun.

Terima kasih kerana menceriakan hari-hari Ibu, Ayah dan Abang dengan keletah dan ragam adik yang membuatkan meter darah turun dan naik.

Doa saban hari Ibu, adik menjadi anak soleh yang akan mendoakan Ibu dan Ayah kelak. Moga adik membesar sebagai kanak-kanak yang cerdas dan pintar. Sayang selalu.

08 October 2012

SPA Punya Pasal

Sejak lebih seminggu tidur malam saya tidak lena gara-gara mahu menduduki exam SPA. Jadual waktu seorang suri rumah seperti saya takkan sama macam mereka yang belum berkahwin, yang belum mempunyai anak atau anak-anak dah besar. Maka, waktu siang adalah waktu tumpuan sepenuhnya untuk anak-anak dan suami.

Mahu atau tidak, waktu bertenang adalah pada sebelah malam setelah lampu ditutup. Bangun, buka website sana sini melihat info kementerian atau agensi berkaitan, buat beberapa soalan ulangkaji matematik zaman sekolah menengah dan sedar-sedar jam dah 3 pagi. Berapa peratus maklumat yang masuk tidak dikenalpasti.

Semalam exam berlangsung dengan penuh tenang. Lebih tenang dari exam yang saya duduki di Alor Setar pada Jun lalu. Huru hara, sakit hati dan naik pecah otak memikirkannya. Al-maklumlah dah beberapa tahun meninggalkan alam pengajian tup-tup exam. Maunya tak terkejut otak. hew..hew...Mujur semalam punya paper lebih 'mesra otak'. Lulus atau tidak, saya bertawakal pada Allah dengan apa yang saya usahakan.

Insyaallah, ada banyak lagi cerita mahu dikongsikan lagi kelak. Moga ada ruang untuk saya kembali aktif menaip. Salam sayang untuk semua.

29 September 2012

Penang: Antara Kegembiraan dan Kedukaan

Assalamualaikum, 

Baru rasa semangat nak update blog. Hari ni genap seminggu kejadian 'malang tidak berbau' ditempuhi En Bapak dan kami sekeluarga. Imbas kembali entry sebelum ini mengenai keterujaan kami sekeluarga untuk melawat Pulau Pinang.

Kami tiba di sana Jumaat lepas, sempat pusing-pusing Bukit Bendera, makan nasi kandar di Line Clear, cari jeruk Pak Ali di Pasar Chowrasta. melepak di Medan Selera Padang Kota Lama menikmati pasembur, sotong kangkung, coconut shake serta tak lupa mihun sup untuk anak-anak.

Keesokkan hari, perancangan seterusnya adalah untuk ke misi perkahwinan kawan seuniversiti En Bapak di Bukit Mertajam. Awal-awal pagi dah berangkut khazanah masuk ke bonet kereta. Oleh kerana penginapan adalah berhampiran Padang Kota Lama, kami terus berjalan kaki untuk mencari kedai untuk bersarapan pagi. Malangnya, tiada yang dibuka.

Jadi, kami kembali ke kereta dan bercadang untuk mencari kedai lain. Sedang elok saya masukkan Khalish ke tempat duduk belakang, saya masuk pula ke pintu penumpang depan sambil meriba Ilhan. Saya perasan En Bapak ke seberang jalan untuk merakam gambar hotel penginapan kami. Tak sampai 10 saat saya duduk, saya jeling untuk melihat En Bapak. Alih-alih saya terlihat ramai yang mengerumuni sambil memapah beliau..

Hanya Allah yang tahu bagaimana rasanya darah saya seakan menyerbu ke muka dan jantung berdebar-debar. Menggigil saya mendapatkan En Bapak yang menjerit kesakitan ketika mahu menarik kaki kanannya keluar daripada longkang separas peha dewasa. 

Tanpa berfikir panjang, saya minta kebenaran beliau untuk memanggil ambulan dari hospital berhampiran. Khalish yang dalam kereta saya keluarkan dan letakkan bersama Ilhan bersama jagaan pengurus hotel seketika. Mujur ada yang sudi membantu menenangkan kami dan menghulurkan sebungkus ais untuk ditusm di buku lali suami yang sakit.

Hampir 20 minit kemudian, ambulan dari Hospital Pulau Pinang tiba dan mengusung En Bapak ke hospital. Sudahnya saya, Khalish dan Ilhan turut serta menemani En Bapak dalam ambulan. Kereta saya tinggalkan di depan hotel dan meminta pihak hotel menjaganya. Walaupun saya boleh memandu, saya risau sebab nanti tak dapat nak kejar ambulan, faham-faham sajalah pemandu bawa macamana dan tak mahir jalan kat George Town.

Saat menanti En Bapak dirawat adalah saat yang paling merisaukan saya sepanjang tahun ini. Anak-anak yang belum bersarapan saya uruskan mereka sambil menanti kehadiran teman sekolej, Liza datang. Sungguh saya berterima kasih pada beliau, suaminya Ehsan, Mak dan Ayahnya yang sangat-sangat membantu kami sekeluarga.

Dipendekkan cerita, En Bapak disahkan patah buku lali dan dijangka disimen pada sebelah petang. Selepas saya uruskan kemasukkan beliau ke wad, saya terfikir mungkin lebih baik En Bapak dihantar ke hospital panel di Bayan Baru untuk dirawat segera. Urusan menelefon hospital berkenaan dan menyelesaikan urusan discaj memakan masa lebih kurang 2 jam. Kelakarnya, En Bapak dah tukar pun baju rasmi pesakit dan sempat makan tengah hari.

Kira-kira jam 2, ambulan hospital swasta sampai dan urusan pemindahan pesakit diteruskan. Saya anak beranak dibawa Liza untuk mengambil kereta di hotel. Terima kasih tak terhingga pada pengurus hotel yang menjaga kereta dan tak mahu diberikan wang parking kerana katanya "duit sikit saja ma". Prihatin masih bertanyakan khabar suami serta keadaan kami anak beranak nanti.

Kami terus ke Hospital Pantai dan diberitahu En Bapak disahkan patah di dua tempat di buku lali. Doktor mencadangkan beliau menjalani pembedahan meletakkan skru di buku lali dijangka bedah pada jam 5 petang. Selepas saya, Khalish dan Ilhan bersalaman dengan Ayah mereka, En Bapak dibawa pergi ke bilik bedah. Harapan saya hanya satu, moga Allah melindungi suami saya.

Kami anak beranak akhirnya ke rumah Liza untuk makan dan berehat. Meskipun dah berjumpa malam sebelumnya dan Liza menjemput ke rumah, kami terpaksa menolak ekoran kekangan masa. Namun, ini adalah hikmah yang Allah berikan. Kami ke rumah Liza juga yang jaraknya hanya 5 minit perjalanan dari hospital En Bapak dirawat.

Kedua-dua keluarga dikhabarkan dengan kejadian sedih ini. Mama dan Ayah mentua saya dari Petaling Jaya segera datang ke Pulau Pinang untuk melihat keadaan anak sulung mereka. Manakala Mak dan Ayah saya di Melaka tidak dapat hadir kerana kesibukan urusan yang tidak boleh dipinda. Namun, selang sejam Mak menelefon saya untuk mengetahui perkembangan.

Akhirnya, En Bapak selamat dibedah dan dijangka pulih sepenuhnya dalam masa 2 hingga 3 bulan. Khalish yang petah berkata-kata mengatakan kesian Ayah sakit kaki jatuh longkang dan selalu membantu mengambil keperluan En Bapak. Agak kelakar, Khalish suka melepak di atas katil bujang yang baru dibeli khusus untuk En Bapak. Ilhan pula, kalau ralit bermain dekat dengan kaki En Bapak, cakaplah baik-baik kaki Ayah berdarah, confirm terus dia pergi jauh.

Semasa di hospital, En Bapak beberapa kali mengucapkan maaf pada saya kerana rasa bersalah menyebabkan kami terpaksa menempuh masa-masa kesukaran dan hajat membawa kami ke berkunjung ke Muzium Negeri Pulau Pinang, Muzium Islam Pulau Pinang dan menaiki feri menyeberang ke Butterworth tidak kesampaian.

Bagi saya, siapa yang menduga apa yang berlaku pada kita setiap saat? Mungkin ada hikmahnya di sebalik kejadian ini supaya kita lebih berhati-hati dalam setiap langkah. Mungkin ini adalah peluang terbaik kami mengeratkan lagi hubungan suami isteri, kekeluargaan, persahabatan dan saya belajar mengurus rumah tangga sepenuhnya dengan pemantauan En Bapak. 

Lagipun, dapat juga kami merasa naik ambulan terutama Khalish yang teruja setiap kali dengar bunyi siren daripada ambulan yang saban hari lalu di depan rumah kami di Ipoh. (ok, tak kelakar isi perut).

Selamat menjalankan tugas sebagai pengurus rumahtangga dan jururawat khusus untuk En Bapak, saya boleh lakukan ini, saya kuat hadapi saat ini demi orang tersayang. (bila lagi nak berbakti pada suami ye tak). Moga orang kesayangan saya sembuh seperti sedia kala. Doakan ye. (panjang betul entry ni).

notajari: bakal menduduki exam spa lagi minggu depan. curi-curi masa tengah malam dan awal pagi untuk study. cepatlah exam, saya takut mata saya jadi macam mata panda. kikiki...

21 September 2012

Penang Nantikan Kedatangan Khalish dan Ilhan

Pix credit to blog parti memerintah penang. jangan marah na.
Alang-alang ke Penang untuk menghadiri walimatul urus kawan serumah En Bapak masa di Wangsa Maju, beberapa tahun lalu kami akhirnya memutuskan untuk membawa Khalish dan Ilhan pusing negeri tadbiran LGE.

Ada beberapa tempat yang berada dalam senarai untuk dilawati seperti Bukit Bendera, Fort Cornwallis, rumah P.Ramlee dll.

Paling utama, saya nak cari Jeruk Pak Ali di Pasar Chowrasta, makan nasi kandaq Line Clear, pekena pasemboq dan mee goreng sotong di Padang Kota Lama dan macam-macam benda dalam plan nak dibuat dalam tempoh 24 jam. hehe

Sehari je pun dan Sabtu pula harus bergegas ke majlis kahwin di Butterworth. Moga Allah selamatkan perjalanan kami sekeluarga. Amin..

19 September 2012

Kari A&W : Mamak Pun Kalah

Melepas mengidam di A&W PJ
Kalau ke A& W tak sah kalau tak order nasi yang ada kari ni. Jatuh cinta masa makan kat KLCC masa zaman belajar. Asal ke sana tak de tempat makan lain saya pergi kecuali A&W.

Tak ingat nama menu. Kalau tengok dalam website diorang pun tak de. Kalau ada time promosi Ramadan dan tak semua francais A&W ada.

Memang terbaik kari dia makan dengan ayam goreng dan nasi. Kari mamak dah tak pandang. Lagipun tak perlu risau sakit perut. hehe...terbaik...

15 September 2012

Kacau Bilau Bahasa Hanis Zalikha

pix cdt to mediahiburan
Saya baru menonton satu episod rancangan 'Mad Markets' minggu ni bersama En Bapak. Beliau dipaksa menonton sebab tv kat rumah ni ada satu je. Lagipun saya memang minat dengan wajah comel Hanis Zalikha yang ada iras-iras Datin Norazlina Redzuan.

Destinasi 'Mad Markets' minggu ini adalah ke negeri kelahiran saya, Melaka. Baru menonton separuh minit, En Bapak dah tanya satu soalan cepumas, "Siapa buat skrip agaknya ye?", spontan beliau tanyakan pada saya. Saya mengganggak dan menjawab, "Mungkin garis panduannya ditentukan produksi namun diolah Hanis sendiri untuk nampak lebih natural dan santai. Kenapa tanya?". (ecewah...bengang konsentrasi terganggu dan pertanyaan berunsur tak suka hos aka blogger kesayangan ramai).

"Cuba tengok gaya bahasa dia, kejap b.m kejap b.i terlalu bercampur aduk sampai kacau bilau bahasa. Bolehlah nak nampak urban ke apa, tapi slanga yang bercampur aduk mampu mengganggu mesej yang nak disampaikan," jelas En Bapak.

Telinga saya mendengar butir bicara En Bapak walaupun mata tetap terlekat di tv. Selesai menonton, saya duduk seketika membaca akhbar harian namun otak terus ligat memikirkan rancangan apa lagi yang tersiar di tv yang mempunyai konsep dan gaya penyampaian hos yang lebih kurang sama. Melambak.

Kadang-kadang arah tuju produksi agak pelik seperti nama rancangan dah berbahasa inggeris, tapi keseluruhan penyampaian rojak. Buat jelah dalam bahasa inggeris seluruhnya atau bahasa Melayu. Pening. Bagi saya, mungkin cik Hanis terlalu banyak merojakkan bahasa dalam travelog dia kali ini. 

Tak mengapalah, mungkin baru dua episod dan beliau masih ada perasaaan gementar ketika mengacarakan rancangan ini. Kalau saya maunya lidah tershashul sana sini. hewhewhew...

Oh Cik Adik Hanis Zalikha yang come lote, maafkan kami sekiranya teguran ini menyakiti hati anda, namun ia adalah untuk kebaikan bersama - anda, 'Mad Markets' dan penonton secara amnya. Jangan risau, saya tetap menyokong rancangan yang dihos anda sebab saya juga seorang yang suka travel dan shopping!!

Jangan lupa menyaksikan 'Mad Markets' pada setiap Rabu, jam 10.30 malam di TV9!

11 September 2012

Menyusuri Sejarah Pasir Salak dan Teluk Intan

Assalamualaikum,
Tajuk dah macam cikgu sejarah nak buat lawatan sambil belajar bersama anak murid. hehe..
Niat asal adalah untuk menziarahi Opah En Bapak di Teluk Intan. Kami bergerak awal pagi untuk bersarapan di restoran mamak di Jelapang.

Cadangnya adalah untuk melawat tempat menarik dalam perjalanan ke kampung Opah. Akhirnya kami bersepakat untuk melawat Kompleks Sejarah Pasir Salah di Kampung Gajah. Memandangkan jaraknya hanya kira-kira 25 km dari Teluk Intan kesempatan ini sukar kami abaikan.

Ketika sampai matahari hampir berada tegak di atas kepala. Hari yang kami lawati adalah bukan hari cuti, maka diibaratkan kunjungan berkenaan macam biasa seperti kompleks atuk nenek yang punya. Mula-mula kita harus menapak kira-kira 500 meter untuk masuk ke kompleks utama. 

Kita bergambar dulu dengan jam suria sebagai simbolik kepada pembinaan terowong sejarah,

Kemudian, kita bayar tiket dan bergambar lagi depan pintu masuk terowong. hehe...Famili gila merakam memori ginilah. 

Dah nama terowong, haruslah laluannya adalah bergelap. Apa yang bercahaya adalah paparan 42 diorama berkaca lengkap dengan ilustrasi lukisan, replika manusia yang menggambarkan keadaan sebenar sesuatu peristiwa. Plot kronologi yang dipersembahkan sangat menggagumkan kerana secara tidak langsung kami dapat mengimbas kembali sejarah tanah air bermula dengan penempatan awal di Kuala Selinsing, Perak yang wujud pada tahun 200 sebelum masihi hingga 1000 masihi sehinggalah membawa kepada kemerdekaan negara. .

Selain itu, ada sebahagian diorama diperkukuh dengan kesan bunyi bagi menghidupkan perjalanan plot sejarah yang amat berharga ini. Hinggakan Khalish dan Ilhan terpegun dengan susun atur yang berwarna warni. Anak-anak masih kecil tidak faham apa-apa, tapi ini adalah peluang permulaan memperkenalkan mereka dengan kisah sejarah. 

Usai menatap kesemua kisah sejarah, kami bergerak ke tingkat bawah untuk ke Galeri Keris yang mempamerkan koleksi 180 keris dari Kepulauan Melayu Nusantara. Sayangnya gambar tidak dibenarkan dirakam di galeri ini.

Kemudian kami melawat ke bahagian luar kompleks berkenaan yang memaparkan tapak asal J.W.W. Birch dibunuh serta tugu peringatannya (beliau dikatakan mati dibunuh ketika sedang mandi di tepi sungai). Selain itu,  turut terdapat tugu peringatan pahlawan Melayu, rumah Kutai, kubur Si Puntum dan replika perahu naga.




Selesai sesi merakam memori, kami kemudiannya bergerak ke rumah Opah. Sebelah petangnya, kami meneruskan perjalanan ke Menara Condong di Teluk Intan. Bolehlah pulak si Ilhan sedap tidur tak nak bangun walaupun dikejut beberapa kali.


Sudahnya saya menggagahkan diri mendukung si kecil yang sudah melebihi berat 10kg beras mendaki anak tangga dua tingkat dalam menara berkenaan. Alang-alang dah sampai haruslah dijejaki hingga ke dalam menara. Ye tak?


Ketika di sana, En Bapak berjumpa rakan kerjanya untuk membawa kami ke tepi sungai bagi membeli udang galah. Sudahnya melepaslah saya untuk menikmati mee rebus dan rojak Mastan Ghani yang dikatakan femes itu kerana kami kemudiannya dijemput beraya di rumah rakannya itu. 

Tak mengapalah, kata En Bapak rasanya sama sahaja dengan restoran cawangannya di Silibin. Ok, jangan lupa belanja saya kelak ye, B. hehe...





10 September 2012

20 Perkara Yang Berubah Selepas Mempunyai Anak - Saya setuju!!

Mood menaip saya agak menurun beberapa hari ni sebab dua anak bujang kesayangan dijangkiti demam panas, selsema dan batuk. Asal batuk je muntah, asal muntah je tukar baju. Mood bermain dan makan mereka pun dah 'lari'. 

Dah lama saya simpan entry ni konon nak publish untuk dikongsi tapi last-last terlupa. Saya peroleh daripada kura-kura.my. Seronok membaca fakta yang kebanyakan 'kena' dengan diri sendiri. Jom layan...

Sering kali rakan-rakan kita memberi peringatan kepada kita ketika kita sedang mengandungkan anak pertama. “Kau tidurlah puas-puas, nanti dah ada anak mesti tak cukup tidur”…Betul kan?
Dan yang pasti, selepas mempunyai anak, banyak yang akan berubah dalam hidup kita. Kita akan mempunyai kekangan wang, tidak cukup tidur dan tanggungjawab yang lebih besar perlu digalas. Tetapi apabila seluruh kehidupan kita bertumpu kepada anak kesayangan kita, sebenarnya, banyak perkara yang menarik akan berlaku. 

1- Kita menemui kekuatan dalaman tanpa kita sedar. (setuju)
2- Kita akan merindui saat 9 bulan kehamilan kita walaupun terpaksa mengendong perut yang boyot!! (setuju)
3- Kita tidak lagi memerlukan jam. Sebaliknya, bayi kita yang menetapkan jadual harian kita. Adakalanya bayi kita bangun seawal jam 4 pagi!! (setuju walaupun Ilhan tiap2 tiga jam sekali bangun)
4- Kita akan menghormati dan mengasihi ibu bapa kita sendiri dengan cara yang baru. (setuju)
5- Jika anak kita sakit, kita yang akan mengalami rasa lebih teruk berbanding kita yang sakit. (setuju)
6- Kita tidak keberatan tidur pada pukul 9 malam pada malam Jumaat…;-) (tak setuju, saya tidur lewat)
7- Perasaan kita akan lebih mudah tersentuh atau berkecil hati apabila berlaku hal-hal berkaitan dengan anak. (setuju)
8- Kita akan lebih kerap melihat anak kita di dalam cermin berbanding melihat diri kita sendiri. (bolehlah)
9- Kita tidak lagi jijik dengan najis bayi, sebaliknya kita akan Happy bila anak kita poo-poo! (setuju)
10- Kita akan lebih menghargai diri kita. (setuju)
11- Kita lebih rela meluangkan masa untuk peluk dan cium anak kita, walaupun kita tahu kita akan sampai lewat ke tempat kerja. (saya ibu di rumah)
12- Kita mula menyedari, yang kita punyai kuasa yang hebat bila dapat menenangkan anak kita yang sedang menangis. (kadang kala)
13- Kita akan sentiasa mengira gigi anak yang baru tumbuh. (setuju)
14- Kita akan rasakan yang mempunyai anak lagi bukanlah satu masalah yang besar, malah kita amat sukakannya. (belum membuat keputusan)
15- Apabila kita melihat ada ibu bapa lain yang sedang memegang anak mereka yang sedang menangis, kita akan faham situasi mereka. (setuju)
16- Kita akan menghargai masa mandi kita walaupun ianya dalam masa yang singkat! (setuju)
17- Akhirnya, kita akan mula bertegur sapa dengan jiran sebelah selepas mempunyai anak! (setuju)
18- Kita akan dapati, perkara-perkara yang dulunya kita anggap penting kini tidak lagi selepas adanya anak. (setuju)
19- Kita sedar yang sebenarnya tidak sukar untuk menyayangi anak kita yang pada mulanya kita anggap dia adalah orang asing. (setuju)
20- Setiap hari kita adalah sesuatu yang penuh dengan kejutan! (sangat bersetuju)



notajari: Lain-lain perubahan - body sendiri dah berubah allignment, dulu asyik fikir shopping baju sendiri sekarang lebih pada baju dan mainan anak, nak sediakan makanan kena fikir anak dulu, paling penting setiap perkara dilakukan mengambil kira kebajikan anak. Setuju tak??

04 September 2012

Tips Mengawal Anak 2-6 Tahun Mengamuk

pix credit to google
Saya kongsikan tips menarik ini daripada fb Prof. Dr. Rozieta Shaary. Mari sama-sama kita praktikkan.

Pertama - Jika anak hilang kawalan, anda perlu lebih tenang dan TIDAK hilang kawalan diri anda pula.

Kedua -  Kaji sebab anak itu mengamuk. Jika letih, maka beri dia rehat. Jika dia kecewa, maka tenangkan  emosinya. Anda perlu menunjukkan dengan lebih lagi kasih sayang anda melalui ketenangan dan kesabararan pada ketika ini kerana anak hanya mengamuk bila mereka resah.

Ketiga - Jika anak mengamuk dan anda menjerit-jerit suruh dia diam. Maka payah untuk dia diam dan ikut kata-kata anda kerana apa yang berlaku pada ketika itu menunjukkan anda tidak mengawal keadaan dengan baik. Namun, anda boleh naikkan suara anda sedikit, to match suara dia, contohnya, panggil nama dia kuat sikit, katakan nama dia Azim. Tapi BUKAN dengan nada marah. AZIM (suara agak kuat untuk match dengan suara dia). Bila anda mendapat attention dia, kemudian teruskan kata-kata anda dengan perlahan sedikit dari segi nada dan sebutan.

Empat - ajak dia menarik nafas dan anda juga menarik nafas dgn tenang dan dalam-dalam. Semasa itu Istigfar dan ajak dia Istigfar. Anak sebesar ini sudah boleh mengikut. Sebut dgn tenang. Sehinggalah dia menjadi reda.

Sebelum anak reda, anda kena reda dahulu. Ini bukan masa untuk mahu memberitahu siapa yang lebih berkuasa dan kata-kata siapa yang hendak didengar.

Bayangkan begini, jika anda di pejabat dan suatu perkara mengejutkan dan mungkin berbahaya berlaku. Semua orang panik. Semua orang jadi rasa tidak menentu dan hilang-punca. Pada ketika itu, jika ketua di pejabat itu pun sama naik hilang punca dan menjerit-jerit dan mengeluarkan kata-kata tidak baik dan marah-marah dan menyalahkan anda, bagaimana pandangan anda kepada ketua itu? Anda mengharapkan dialah yang boleh memimpin semua untuk boleh tenang dan bertindak bijak. Tapi kepimpinannya menyebabkan keadaan menjadi lagi kecuh dan keruh. Bolehkah anda menghormati kepimpinannya itu?

Anak yang mengamuk, adalah seorang yang hilang kawalan. Ibarat dia sedang menghadapi badai dan taufan di dalam emosinya. Dia memerlukan sesaorang yang lebih bijak membawanya keluar dpd keadaan itu dengan selamat. Jika anda ibu bapanya, hilang kawalan sama, maka bertambah teruklah keadaan. Sama seperti ketua di pejabat tadi. Our children need our leadership especially in situation like this. Itu sebabnya marah yang melulu, tengking dan menjerit kepada mereka tidak akan memberi kesan yang positif bagi jangka panjang.Memanglah mereka diam dan NAMPAK seperti dengar cakap anda tetapi... hati dan jiwa mereka tercalar.

Jika mereka tidak faham tindakan anda dan pertalian anda dengan mereka tidak rapat maka bila mereka semakin besar mereka tidak lagi menghormati anda, kerana anda tidak menunjukkan kepada mereka anda boleh mengawal keadaan dengan tenang dan tegas, penuh hormat dan kasih sayang dan tidak melukakan emosi dan jiwa mereka.

Memang kita geram dengan perangainya pada ketika itu. Tapi ingatlah, anak kita itu tidak dilahir sememangnya degil dan jahat dan suka mengamuk dan akan mengamuk hanya untuk menyakitkan hati ibu dan bapa yang dia sayang. Fikir-fikirkan kembali mengapa pula dia hendak menjadi degil? Adakah hanya kerana dia sememangnya dilahirkan degil dan berperangai seperti hantu? Adakah mereka ini keturunan Adam a.s yang taat dan kasih kepada Allah atau keturunan Iblis yang tidak mahu taat kepada Allah? Jawapan soalan ini memberi anda kesedaran betapa tidak baiknya kita bersangka buruk terhadap anak kita bila mereka lemah pada ketika itu.

Jika kita fikir sejenak, memang tidak logik untuk kita memikirkan anak kita ini mengamuk hanya kerana memang itu tabiatnya. Itulah sebabnya, bila kita mengawal diri kita, kita boleh tahu, anak ini mungkin letih, mungkin overwhelm, mungkin rasa tidak dikasihi dsb. Dan semua itu ada ubatnya. Jadi soalan bagaimana hendak mengawal anak-anak yang suka mengamuk, membaling barang atau mengeluarkan perkataan tidak baik;

- tenangkan diri anda dulu - Istigfar.. jangan biar iblis menyemarakan apinya
- lihat punca mengapa dia mengamuk dsb
- Tegaskan suara anda untuk mendapat perhatian, kemudian pimpin mereka untuk menjadi lebih tenang dgn suara dan pergerakan anda yang lebih tenang, lembut, perlahan.
- minta izin untuk pegang/peluk dia. Jangan terus peluk. Umur begini sudah mula faham 'space' mereka. Walaupun anda berniat baik, namun, anda perlu berhemah dan jangan terus invade space mereka. You gain more respect by respecting them. Respect is earn not demanded.

- setelah tenang baru beritahu bahawa perangai mengamuk begitu bukanlah cara yang baik utk mendapat perhatian dan pertolongan anda. Jemput mereka untuk memberitahu resah hati mereka dengan baik dan beri mereka masa itu. Puji mereka bila mereka melakukannya. So that they know, that is the right behavior.
- Avoid power struggle. They know you are in control when you actually show that you can manage situation like this with full of wisdom, love and empowering.

Semoga ini akan dapat membantu anda mengendalikan anak-anak berumur 2 hingga 6 tahun yang suka mengamuk.

Saya Serik Dengan Produk Berkologen Itu!!

*entry ini adalah untuk wanita sahaja*
Pagi tadi di sebuah klinik swasta di Ipoh.

Doc: Ya Puan, ada masalah apa?
Pesakit : Saya ada masalah keputihan la doktor. Dekat sebulan dah.
Doc : Warnanya bagaimana?
Pesakit : Jernih tapi kadang-kadang putih susu.
Doc : Sebelum ni pernah mengalami masalah serupa?
Pesakit : Tak pernah. Saya syak lepas saya ambil produk minuman kologen terus saya mengalami masalah keputihan yang banyak dan kegatalan melampau. Mula-mula malam sahaja, sejak minggu lepas siang malam pulak, mengganggu aktiviti harian betul.
Doc : Eh, baru ni pun saya ada ambil produk kologen juga. Biasalah kan, wanita mesti nak jaga kesihatan lebih. Kata pengedar tu, boleh ambil time period. So, kesannya 3 hari stain keluar baru flow, tak macam selalu. Terus saya stop dan tak ambil lagi. Tak sukalah sebab rasa macam tak natural pula produk tu.
Pesakit : Samalah doktor, masa period saya ambil darah hitam je keluar. Langsung takde darah merah. Sudahnya bulan tu dua kali period saya datang. Sabar jelah.
Doc : So, awak pasti takde keputihan warna kuning atau hijau? 
Pesakit : Sangat pasti doc.
Doc : Ok, sekarang ni saya suspek awak dijangkiti fungus kemungkinan disebabkan ada bahan lain - mungkin ada campuran hormon dalam produk yang awak ambil. Jadi, mungkin ada gangguan hormon hingga menyebabkan lebihan keputihan keluar sekaligus menyebabkan ketidakselesaan pada bahagian sulit. Ini menyebabkan ia terdedah kepada jangkitan kulat. Keputihan peringkat kronik apabila dijangkiti bakteria adalah berwarna kuning atau hijau. Itu memang kena ambil antibiotik sebagai penyelesaian.
Pesakit : Fuh...confirm saya tak nak ambil dah produk tu doktor. Tapi dah tiga kotak saya telan.
Doc : :). Awak nak ubat makan ke masuk dalam?
Pesakit : Makan jelah doktor. Scary la bab-bab kena masuk ni. Pencuci boleh bagi tak doktor?
Doc : Ok, saya bagi sekali tapi guna bila rasa gatal je tau. Kalau tak jangan guna. Apa-apa produk pencuci vagina kurang baik kalau diguna selalu sebab mampu membunuh bakteria baik dalam alat sulit. Mungkin menyebabkan kekeringan, keradangan dan masalah lain pula jadi nanti. Awak makan ubat anti fungus dan guna ubat cuci selama seminggu kalau takde apa-apa perubahan, datang nanti kita buat pap-smear.
Pesakit : Ok, saya faham doktor. Terima kasih.

Untuk lebih jelas, pesakit itu adalah saya dan doktor itu adalah doktor wanita. Tak sanggup eh, biar la bukan doktor panel pun janji doktor tu perempuan, takde segan sangat nak bercerita. 

Konon terpengaruh nak berkologen sangat nak kulit cantik la, nak bagi mantap sana sini akhirnya dapat kesan sampingan lain. Pergh...kalau sapa pernah mengalami kegatalan melampau kat miss v confirm faham bagaimana rasanyakan. Rasa nak siram air panas dan letak cili api pun ada. hahaha...hampeh.

Sebelum ni saya pernah ambil dua produk kologen yang harganya beratus ringgit sekotak. Lepas ambil dua kotak takde sebarang perubahan terus saya stop. Tapi, takde pun kesan sampingan seperti keputihan keluar.
Lepas terpengaruh dengan satu produk minuman kologen yang konon hot dalam internet terus saya laju-laju ajak En Bapak cari. Tak mahal pun, harganya masa promosi RM50 dapat tiga kotak.

Bukan nak kata produk tu tak bagus, sedap apa rasa kopi tu (eh kopi ke), dari satu sudut kesannya lebih cepat daripada produk mahal (cth: ada perubahan di satu dua bahagian tubuh : segan nak stori lebih), tapi dari sudut lain ada pulak kesan sampingan yang menyebabkan saya tak selesa beberapa hari kebelakangan ini. Kesudahannya, confirm lepas ni saya takkan ambil lagi produk tu. Biarlah lambat dapat kulit cantik asalkan ketenangan harian saya tak terganggu.

Buat kata En Bapak, alah dah kahwin pun, saya tak kisah. Hello, lumrah wanita la nak cantik menarik tertarik bukan untuk orang lain, untuk suami juga. kan...kan..kan. 

Siapa yang pernah ambil kologen dan mengalami masalah sama macam saya? Tubuh kita kan lain-lain so kesannya pun berbeza setiap orang. Kesimpulannya, kalau berhasrat nak ambil produk berkologen tu pastikan ia serasi dengan tubuh. Kalau ada yang tak selesa, baik jangan teruskan pengambilan dikhuatiri mengundang masalah lain pula.

Terima kasih kerana sudi membaca.