28 January 2013

Bila Pasar Besar + UTC Ipoh = Sesak!! Tapi...

Sudah tiga bulan saya mengambil alih sesi membeli barang mentah di pasar. Lokasi pilihan sudah tentu Pasar Besar Ipoh. Tahun lepas, biasanya saya keluar rumah seawal 7 pagi di mana budak berdua tu masih lena diulit mimpi.

Lebih kurang jam 7.15 pagi saya sampai dan tersenyum lebar bila parking tingkat bawah pasar lengang, hanya beberapa buah kereta yang terparkir di situ. Masuk 2013, waktu ke pasar agak terlewat sedikit kerana perlu menghantar Khalish terlebih dulu ke tadika sebelum jam 8.
Sampai-sampai pasar, dah jam 8.15 pagi dan agak tension sedikit bila parking bawah sudah penuh dengan kenderaan. Nak cari parking kenalah pergi ke bahagian hujung tak pun tingkat dua kalau ada. Nak parking di luar, memang takde punya sebab penuh.

Arghh...ni semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) punya hal. Sejak dibuka awal tahun lalu, tak pasal-pasal saya kena memasuki acara pencarian parking berkumpulan. Bukan saya yang merungut tau, ramai yang bising sebab susah nak parking.

Bayangkan UTC menawarkan perkhidmatan untuk 51 agensi kerajaan dan swasta. Jadi, rasanya kenderaan staf UTC dah berapa banyak yang parking kat situ. Tu belum lagi, peniaga-peniaga pasar, medan selera dan pelanggan yang datang lagi. Aduhai, benci tau bila mood ke pasar terganggu. *emosi la pulak. Baiklah...baiklah....tekanan darah kembali ke paras normal apabila parking kosong dijumpai akhirnya berhampiran tangga ke tempat menjual daging. Yeah...senyum, senyum...
Pantang nampak ikan, suka-suka hati je dia nak pegang budak ni. Habis hanyir satu badan.
Minggu lepas, saya, En Bapak dan Ilhan bersama-sama berganding bahu ke pasar. Selepas acara membeli stok bahan mentah untuk seminggu, kami kemudiannya mengambil kata sepakat untuk meninjau operasi UTC yang kelihatan gah di sebelah pasar. hehe...

Sebelum itu, haruslah kita bersarapan dulu di medan selera tingkat atas. Gerai kegemaran saya sudah tentu gerai mamak Uncle Zubir (sebelah gerai no 14). Sudah beberapa kali saya mencuba roti canai, roti telur spesel (ada sardin, kari dan telur dalam sekeping roti), capati, thosai dan paling sedap adalah apom manis yang lemak manis dan ringan je masuk ke tekak. Fuh...tambah pulak dengan teh tarik kaw.
En Bapak melayan je selera kemamakan saya dan Ilhan. Biasanya saya akan beli saja sarapan bila ke pasar. Ada juga gerai menjual mee goreng mamak bertentang dengan kedai ni. Tukang masaknya adalah seorang pakcik. Sedap juga. Kalau nampak minah indon yang masak tu kureng sikit rasanya, sebab dulu penah beli bakso sup rasa air paip. Ceh...

Lepas mengisi perut, kami memulakan lawatan pagi ke UTC dengan memasuki pintu betul-betul depan kaunter Tourism Perak. Masuk-masuk je, fuhh...agak lega sikit di situ sebab terasa sejuk penyaman udara. Lega...

Jadi, kami terus berjalan, oh di sini ada JPJ, eh Tabung Haji , pejabat Pos, JPN, kaunter polis, dan banyak lagi dan lagi. Kemudian kami masuk ke kedai buku 1 Malaysia. Walaupun tak berapa besar kedainya, namun pilihan buku adalah sangat banyak, terkini dan yang penting harganya lebih murah berbanding tempat lain.

Sebagai contoh, baru-baru ni saya ke MPH membeli karya terbaru penulis kegemaran Ramli Awang Murshid berharga RM25. Tapi kat kedai Buku 1 Malaysia ni, hanya RM22.50. Walaupun murah dua tiga ringgit, jimat juga di situ untuk karya yang sama. Banyak lagi buku-buku terbaru yang murah di sini tak perlu tunggu sale. Novel, buku-buku ilmiah, buku kanak-kanak, alat tulis semua ada di sini.

Oleh sebab kuota membeli buku untuk bulan ni dah habis, kita akan tangguh ke bulan depan beli buku di sini ye. Seterusnya, En Bapak mengajak kami ke Klinik Pergigian 1 Malaysia. Dari kedai buku memang dah nampak klinik ni.

Terus terang, sejak kecil saya memang fobia dengan doktor gigi, jarum dan gerudi tampalan gigi. Menyesal pulak rasa bila saya asyik bising-bising ada gigi geraham yang tersompek ketika mencabut gigi di Melaka tahun lepas.

Selepas membayar RM1 manakala Ilhan tidak dikenakan sebarang caj. Kami menunggu giliran. Seronok juga rasa bila hanya kami yang ada ketika itu. Lengang. Akhirnya giliran kami dipanggil. Ok, doktor muda berbangsa India melakukan pemeriksaan gigi dan menyarankan saya menampal gigi yang berlubang.

Fobia saya sudah datang. Alamak, saya jeling-jeling En Bapak. Beliau tersnyum dan menyuruh saya mengikut nasihat doktor. Alang-alang dah sampai, saya cekalkan hati membenarkan doktor melakukan proses tampalan. *habislah aku..habislah..- kata hati saya.


Tak sampai 10 minit, lepas dia gerudi, tampal dan menekan gigi tersebut. Siap dah. Fuh...memang kerja yang sangat bagus dan berlemah lembut. Tak macam pengalaman sebelum ni di Melaka, semua doktor pergigian adalah diklasifikasi sebagai brutal. Melaka...Melaka...tang memberi khidmat perubatan memang tak pernah berubah sejak dulu, nak-nak klinik atau hospital kerajaan. *eh..tersalah topik nih. sori eh tok ali.

Baiklah, giliran Ilhan pula. Budah ni bila doktor menyuruh membuka mulut, diketapnya gigi dengan kuat dan membuatkan doktor dan jururawat di situ tertawa melihat telatahnya. Naughty boy, kata doktor. Gigi depan Ilhan sedikit terhakis sebab suka sangat makan benda manis seperti gula-gula dan coklat lepas tu payah nau nak gosok gigi.

Jadi, bila keluar semula saya kena bayar lagi caj RM2 untuk tampalan gigi dan senyum dengan gembira. Dua ringgit...dua ringgit...mana nak dapat dik non. Yeah, marilah kita ke kedai pemborong biskut depan tu membeli stok biskut pulak.

Kesimpulannya, walaupun sekarang pasar agak sesak sebab ada UTC, tapi kewujudannya sangat-sangat memudahkan hidup rakyat jelata dengan kemudahan yang ditawarkan di bawah satu bumbung. Lepas ke pasar kita ke UTC, kemudian balik rumah. Alah, masalah parking kat mana-mana ada juga, apa yang penting urusan kita mampu siap dalam sehari. Ye tak?

notajari: teringat saya ketika membuat ic baru di UTC Melaka tahun lepas, dalam tempoh tak sampai 3 jam dah siap walaupun ketika orang yang maha ramai beratur. En Bapak buat ic baru di UTC Ipoh sehari lepas tu baru siap. Kiranya Melaka lebih advance sikit bab ni la kan. hahaha...

4 comments:

  1. follow sini..#41
    * tgk cari maklumat pasal UTC.bakal ke sana soon..

    ReplyDelete
  2. permatabiru: selamat sampai hendaknya

    ReplyDelete
  3. Salam... Tq ats info. Kami mmg nk pi cr sarapan kt ipoh ni. Huhu..

    ReplyDelete
  4. Salam... Tq ats info. Kami mmg nk pi cr sarapan kt ipoh ni. Huhu..

    ReplyDelete