17 February 2013

Segalanya Bermula 16 Februari...

Semalam adalah hari ulang tahun perkenalan kami suami isteri yang ke-7. Sambutan kecil-kecilan di mana saya sekadar menyediakan kek keju oreo dan piza kegemaran sekeluarga. Ulang tahun memperingati perkenalan sesebuah hubungan antara saat terpenting dalam mengukuhkan hubungan kasih sayang kami, itu pendapat saya.

Mengimbau kembali kenangan lalu, hari itu adalah hari kedua saya menjalani latihan industri di sebuah syarikat akhbar di Bangsar. KL Sentral menjadi saksi pertemuan apabila saya ditugaskan mengikut seorang wartawan senior menjalani tugasan acara KTMB. Awal juga kami sampai dan terlihat seorang lelaki (kata hati saya mungkin dah ada anak ni) sedang meneliti sesuatu di buku catitan beliau.

Bosan menunggu acara yang lambat mula, saya memberanikan diri menegur sambil memperkenalkan diri (budak baru la katakan haruslah beramah tamah). Cerita punya cerita, rupanya kami menyewa di kawasan sama di Wangsa Maju. Lebih tepat sama seksyen namun berlainan blok.

Pertemuan itu kemudiannya tidak terhenti setakat itu, ukhwah yang terbina tanpa disedari membuahkan bibit-bibit percintaan meskipun kami menjalani hubungan jarak jauh (saya bertugas di Melaka manakala En Bapak di Ipoh).

Walaupun beliau bukan orang pertama yang 'mencuri' hati ini, namun kesungguhan, sikap berterus terang dan sisi romantik tidak diduga yang dipamerkan berjaya mencairkan hati saya.

Lebih-lebih lagi ketika diberi 'cabaran' untuk bertemu keluarga saya untuk mendapat restu berjaya dilaksanakan. Kemudian, giliran saya diperkenalkan dengan bakal keluarga En Bapak. Pergh...seram sejuk tu nak jumpa bakal mak mentua padahal selama ni saya selamba je jumpa pelbagai jenis orang untuk ditemuramah.

Ketika sampai, saya perasan bakal mak mentua saya tu sedang sibuk menyiapkan makan tengahari di dapur sambil dibantu oleh adiknya, Mak Anjang. Hati saya dah terdetik, pasti ada sesi 'ujian memasak' yang bakal diadakan. (hehe..terpengaruh cerita kawan-kawan la ni).

Seperti diduga, mama En Bapak meminta saya membantu beliau memasak sayur kubis. Tuhan saja yang tahu betapa gemuruhnya saya apabila ada empat pasang mata termasuk En Bapak 6, memerhatikan saya mengacau sayur. Memang alamatnya serba tak kenalah kan. hahaha..

Syukurlah, walaupun kurang cemerlang dalam sesi berkenaan, tidak mengurangkan markah langsung dalam hubungan kami. Selepas itu, dari merisik hingga saat kami diijabkabulkan, segala-galanya berlalu dengan lancar bagi kami.
Terima kasih Allah kerana mempertemukan saya dengan En Bapak. Banyak yang saya pelajari dan masih lagi mempelajarinya tentang hidup dan berkongsi kehidupan bersama beliau.

Moga jodoh kami berpanjangan hingga akhir hayat. Moga kami diberi kekuatan untuk membina sebuah keluarga yang kukuh akidah, ibadah dan akhlak. Moga hubungan ini terus disuburi dengan kasih sayang dan keberkatan Ilahi.

Selamat Ulang Tahun Perkenalan, Cinta Hati!








2 comments: