10 March 2013

Dugaan Itu Benar-benar Menduga!

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya ruang mengupdate berita terkini kami sekeluarga terus dari wad 27A. Rasanya tiga minggu kebelakangan ini adalah ujian paling menduga untuk dilalui.

Bermula 22 Februari lepas, En Bapak dimasukkan ke wad untuk diberi suntikan pelincir untuk buku lali, lima hari lepas tu, Khalish pula ditahan wad kerana demamnya kembali melebihi 38 celsius ekoran kahak dan lendir sudah berkumpul di paru-parunya dan menyebabkan jangkitan kuman turut berlaku.



Doktor turut memberitahu berdasarkan ujian darah merahnya juga turut dijangkiti kuman manakala sel darah putih dikesan melebihi aras darah merah. Mungkin disebabkan kuman dan makanan yang tidak teratur ekoran ketiadaan selera makan serta tonsil yang makin membengkak akibat batuk.

Akibatnya, dia ditahan selama lima hari di hospital dan kini semakin beransur pulih. Seminggu lepas tu, giliran Ilhan pula dimasukkan ke wad. Sebelum ini, doktor ada mengingatkan bahawa infection berkenaan boleh berjangkit dari individu kepada individu lain tidak kira kecil atau dewasa. 
Cuma kali ini, suhu badan Ilhan turun naik, pagi kalau elok petang sekejap je dah naik 39 hingga 40 celcius. Hampir lima botol air turut dimasukkan. Sudahlah budak kecik ni susah nak telan ubat, ibarat macam kita nak bagi racun gamaknya.

Ilhan juga dikesan mempunyai gumpalan kahak di salur penafasannya. Selain itu, tindak balas menggunakan nebulizer juga membuatkan selsemanya yang selama ini tidak kelihatan akhirnya keluar tanpa henti.

Hari ni genap lima hari, doktor juga belum memberi kepastian samada dibenarkan pulang atau tidak ekoran suhu badannya yang tidak stabil. Doktor asyik tersenyum bila saya membangkitkan soal bila boleh balik. Kami betul-betul rindukan rumah dan masakan sendiri. hehe...

Hati bertambah gundah bila Khalish pula meragam tidak tentu pasal sejak dibenarkan keluar hospital. Ada sahaja tidak kena, sekejap-sekejap ok, lepas tu menangis hampir apa jua yang berlaku di depan mata tidak kena gaya.

Semalam pula, En Bapak disahkan demam, batuk, selsema. Seperti dijangka, infection daripada Khalish dan Ilhan. Doktor memberikan perskipsi dan memberi tempoh hingga esok, jika tidak menampakkan kesan, beliau juga akan ditahan wad.

Ada satu tahap, sebagai manusia biasa terasa diri tidak berdaya, telefon Ayah konon bertanya khabar, namun kelainan suara dapat dikesan dan meminta saya bercerita apa yang terjadi. Naluri seorang Ayah dan Mak benar-benar mengharukan, Ayah mengizinkan Mak untuk datang 'membantu' saya di Ipoh dengan kebaikan hati adik, Hakimah dan suaminya mengambil Mak di Melaka langsung ke Ipoh.

Kalau En Bapak sihat dan Khalish tidak meragam, mungkin saya dapat bertahan. Namun, bila keadaan seakan 'huru-hara' saya benar-benar memerlukan bantuan 'kecemasan'.

Mak dan adik sampai malam tadi. Mengikut pemerhatian Mak, Khalish mungkin 'diganggu' mengakibatkan dia berperilaku sedemikian, tidak tahu lagi samada Mak akan membawanya pulang ke kampung atau kami akan mencari ikhtiar lain di sini.

Saya cuma berharap Ilhan akan segera dibenarkan keluar, dan mempunyai cukup masa untuk persediaan PAC Sabtu depan. Rasa benar-benar tidak terurusnya kehidupan sekarang. Dengan adik, Khalish dan En Bapak.

Moga Allah memudahkan semua urusan dan selamatkan kami daripada kepayahan dan keluh kesah. Saya yakin Allah memberikan dugaan ini bukan untuk menjadikan kami lemah, malah supaya kami mengambil pengajaran atas apa berlaku juga sebagai satu petunjuk agar lebih dekat pada-Nya.  


notajari: Ketika hati resah gelisah, dakapan seorang Mak mampu melarutkan segala keresahan walaupun seketika. Terima kasih Mak juga Ayah atas segala keprihatinan.

No comments:

Post a Comment