11 March 2013

Hospital Adalah Tempat Kita Berkongsi Cerita

Perkara yang dibimbangi akhirnya berlaku juga. En Bapak yang dua tiga hari ini demam dan selsema teruk akhirnya ditahan wad. Mujurlah Khalish dibawa Mak balik ke kampung untuk mengelakkan sebarang jangkitan kembali pada dirinya yang telah ditahan lima hari di wad minggu lepas. 

En Bapak juga sah dijangkiti virus dalam paru-parunya. Ditambah pula dengan masalah sinus yang dihadapi sejak sekian lama, menjadikan keadaan selsemanya bertambah teruk. Sudahnya beliau kini ditempatkan di tingkat atas berbanding tingkat dua yang telah didiami Ilhan sejak 6 hari lalu.

Saya reda dengan dugaan ini memandang ia adalah secebis ujian Allah berbanding kesihatan yang telah kami lalui sepanjang tempoh hidup berdua, bertiga dan berempat. Sebak juga dalam hati melepaskan Khalish mengikut Neneknya balik Melaka sementara waktu hingga kesihatan Ilhan dan Ayahnya kembali pulih seperti sedia kala.

Saya cuma berharap agar Allah memberikan sebaik-baik kesihatan kepada saya supaya tidak dijangkiti selain keperluan untuk menjaga mereka berdua. Khalish perlu beralih angin untuk kembali pulih dan saya yakin Atuk dan Neneknya mampu menjaga Khalish dengan malah lebih baik daripada kami. Cucu sulung la katakan....

Maka, memandangkan sudah berkampung di hospital selama hampir dua minggu, aktiviti sosial saya adalah bergaul dengan ibu-ibu lain yang anaknya menghadapi pelbagai sakit. Bila dah terlalu lama dan berkenal-kenalan macam-macam cerita turut dikongsi. Tak kisah pasal kerja, kehidupan, anak-anak, malah politik pun boleh. hehe...Ini kiranya aktiviti berkongsi informasi secara sihat.

Kadangkala seronok juga bercampur dengan ibu-ibu pelbagai kaum dan peringkat umur, banyak informasi bertambah dan rasa macam dah kenal lama pun ada dengan orang sebelah dan depan katil. Masa bawa Khalish rawatan susulan tempoh hari di klinik pakar, ada seorang wanita Cina yang sedang hamil membawa anak buahnya yang baru lahir akibat jangkitan kuning.

Bercerita punya cerita, dia bertanyakan pada saya mengenai kepentingan susu ibu kepada bayi. Kasihan juga sebab rasa dia macam kekurangan maklumat mengenainya. Tambahnya lagi, kebanyakan ibu muda kaum Cina suka mengambil jalan mudah dengan memberi bayi mereka susu formula. Saya berkongsi segala pengetahuan mengenai penyusuan susu ibu dan pengalaman menyusukan Ilhan hingga kini. Sebagai panduan saya juga meminta dia mencari dalam internet khususnya blog pemilik Lunatots dan Sarakids yang juga pakar laktasi yang bertauliah.

Saya juga berkongsi cerita dengan dua tiga orang ibu muda yang beru mempunyai anak sulung. Ada juga tips yang mereka minta dan sekiranya ada, saya turut kongsikan bersama mereka. Staf di hospital sangat membantu menjaga Ilhan. Walaupun kebanyakan masa mood Ilhan adalah kurang baik, namun mereka tetap dengan perwatakan berlemah lembut. Syabas staf Hospital Pantai terutama wad kanak-kanak. 

Dalam proses penyembuhan, doktor berpesan supaya mengurangkan pemberian makanan berminyak kepada anak, mengelakkan membawa anak di tempat sesak selain memastikan keadaaan persekitaran bersih. 

Baiklah, minum petang sudah tiba. Pesakit sedang tidur, biarlah Maknya saja yang makan. hehe...



No comments:

Post a Comment