21 December 2014

3 Hari 2 Malam : Kuching, Sarawak

Destinasi: Kuala Lumpur - Kuching Sarawak
Tarikh: 3 Disember - 5 Disember 2014

Hari Pertama

Alhamdulillah, akhirnya hajat nak bawa Mak dan Ayah menjejakkan kaki ke bumi Sarawak tercapai jua meskipun dah tertunda beberapa kali.

Lepas terlihat basic promo di laman web MAS beberapa bulan lepas, perjalanan pergi hanya RM600++ untuk 6 orang, terus laju-laju minta En Bapak tempahkan tiket.

Bagi anak-anak, Khalish dan Ilhan pengalaman pertama kali menaiki kapal terbang sangat mengujakan mereka. Mujur kedua-duanya tidak mabuk sepanjang perjalanan namun dipenuhi pelbagai soalan-soalan berkaitan alam semesta. hihihi...

Perjalanan kami bermula awal pagi pada 3 Disember lalu bermula dengan menaiki ERL dari rumah adik di Putrajaya ke KLIA. Cepat dan terus dah sampai KLIA. Lepas daftar bagasi, kami pun terus ke surau untuk solat subuh.

Kami kemudiannya ke balai berlepas kira-kira jam 8.25 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) satu jam setengah selepas itu. Destinasi pertama kami lawati adalah tandas LTAK. hehe...

Selepas mengambil bagasi, kami kemudiannya mengambil teksi eksekutif dengan bayaran RM43 untuk ke Hotel Ariva Gateway. Saya telah menempah menerusi agoda.com penginapan 3 hari 2 malam dengan bayaran RM480 untuk apartmen dua bilik.

Nasib menyebelahi kami apabila dibenarkan daftar masuk awal. Dapatlah meletakkan bagasi dan meluruskan pinggang untuk seketika.

Memandangkan kami tidak berhasrat menyewa kereta, menapaklah kami berpusing hotel menuju ke Waterfront - tak jauh mana pun kira-kira 5 minit berjalan kaki laju-jangan-berlengangkangkung pulak. 

Dalam perjalanan, terjumpalah keluarga Tugu Kuching anak beranak di tengah jalan dan tak sah kalau tak merakam kenangan sebagai bukti kami telah sampai ke sini. 

Tak jauh dari situ, kami berjumpa beberapa pemandu teksi sambil bertanyakan restoran Nusantara untuk mengisi perut. Ayah terus bertanyakan pakej untuk meronda sekitar Santubong dan Kuching untuk keesokkan hari. 

Rata-rata caj satu hari dari jam 8-6 petang sekitar RM240-RM300 bergantung kepada jenis kereta sewa yang diminta. Tawar punya tawar, dapatlah kami RM180 untuk kereta sewa jenis Wira. Hehe...Ayah memang pandai menawar harga.

Kami kemudian makan tengahari di Nusantara. Saya sedikit kecewa kerana laksa sarawak dan mee kolok yang diminta di restoran berkenaan tidak menepati citarasa. Sampai balik pun, memang tak berjumpa laksa Sarawak yang sedap. Sedih...Sudahnya saya beli pes laksa sarawak untuk dibikin sendiri nanti.

Usai makan, kami kemudiannya menyeberang Sungai Sarawak dengan menaiki bot penambang RM1 seorang dan bersolat di sebuah surau di Kampung Boyan. Selepas itu kami mengadakan kunjungan rasmi ke kedai kek lapis Mira House dan Dayang Salhah di Kampung Gersik. Entry khas kek lapis akan menyusul kelak.

Cadangnya mahu menyusuri sungai pada sebelah petang sambil menyaksikan keindahan matahari terbenam. Kononnyalah...Alih-alih Ayah dah siap-siap deal dengan pemandu bot penambang membawa kami menyusuri Sungai Sarawak di saat matahari sedang rancak menebarkan sinarannya. 

Maka, redhalah kami menyusuri sungai dengan tangan mengipas-ngipas muka. Mujurlah tidak lama selepas itu, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa mengiringi sepanjang perjalanan. Khalish dan Ilhan sedap je tertidur sampai tamat perjalanan. Saya dan mak sempat juga melelapkan mata. Syok juga sesekali melayan mata menaiki bot ni. hehe...


Cerita punya cerita, bolehlah pulak En Bapak bertanya samada sungai tu ada buaya atau tidak. Choi...jangan ditanya-tanya bang, kang muncul tanpa diduga bagaimana reaksi kita agaknya. 

Cerita pak cik tu lagi, ikan patin paling banyak diperoleh di sungai ini. Namun, katanya ikan berkenaan bukan pilihan penduduk untuk dimakan. Wah...kalau kat semenanjung pakcik, ikan patinlah paling top. Nak-nak patin masak tempoyak. Nyum...

Lepas menyusuri sungai, kami kemudiannya bercadang ke Main Bazaar. Memandangkan mak mula sakit lutut, kami memutuskan menaiki teksi di depan 7 eleven Waterfront. Elok-elok teksi nak jalan je, terdengarlah bunyi dentuman di belakang teksi. Siap dilanggar-langgar 3-4 kali. 

Ya Allah, rupanya teksi yang kami naiki dilanggar oleh sebuah pacuan empat roda yang berada di belakang teksi berkenaan. Cepat-cepatlah saya minta semua keluar sebelum keadaan yang lebih buruk terjadi.

Rupanya, pemandu kereta berkenaan tidak menarik brek tangan dan mod pemanduan tidak diletakkan dengan sewajarnya. Sudahnya, bila enjin dihidupkan maka keretanya terus menerjah teksi yang baru hendak keluar daripada parkir.

Berdramalah sekejap tu pun dekat 40 minit menyaksikan perbincangan antara pemandu teksi dan pemandu kereta terbabit. Mereka kemudiannya bersetuju untuk selesai sesama sendiri dengan memberi ganti rugi yang diminta oleh pemandu teksi. Tak nak banyak cerita, bayar sajalah. Nak panjang cerita, jom ke balai.

Sudahnya pemandu teksi menghantar kami pergi ke Main Bazaar dan balik ke hotel secara percuma memandangkan beliau berterima kasih kerana kami sanggup menunggu sebagai saksi kejadian.

Main bazaar ni pada 2004 saya dah sampai. Masa tu sudah ke Kuching atas jemputan kakak angkat, Kursiah namanya. sayangnya sekarang dah putus hubungan...

Barangan cenderamata memang banyak di sini. Sebutlah apa saja seperti t'shirt, key chain, fridge magnet, kraftangan, makanan tradisional dan pelbagai lagi ada di sini. Yang pasti, anda perlu merajinkan diri pergi ke beberapa kedai untuk membandingkan harga. Sebabnya, kebanyakan barangan adalah sama, tapi kalau dapat harga lebih murah mengapa tidak kita borong di kedai berkenaan. hihihi...

Saya perhatikan kedai di deretan hujung adalah paling murah. T-shirt putih kanak-kanak I Love Kuching tu boleh dapat RM4.50 sehelai. Murah tu...kain pun selesa di pakai. Bermulalah sesi membeli belah kami di sini.

Pada sebelah malam pula, saya dan En Bapak mencari restoran Planet Sambal. Tapi kami berjumpa pula dengan RJ Ikan Bakar. Terkagum sekejap dengan restoran ni dah berkonsep restoran ala makanan segera pula.

Kami bungkus balik makan hotel sebab Mak, Ayah dan anak-anak dah letih sangat. Sedap juga makanan RJ Ikan Bakar ni. 

Ok, kembara kami esok padat dengan pelbagai acara. 

Bersambung nanti ya...Terima kasih kerana sudi membaca.

19 December 2014

Kembali dan Kembali

Alhamdulillah...

Masih bernafas lagi di muka bumi ini.

Jangan pergi tak kembali, sudah...

Jadinya Innalillah...huhuhu

Maaf memang virus kemalasan melampau mengupdate blog melanda tahun ni.

Benar-benar...

Nanti kita qada' cerita sepanjang tahun ye...